Pembangkang sokong RUU pembiayaan Covid-19 jika kerajaan tambah RM90 bilion, kata Guan Eng

Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) dan Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengkritik cadangan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung cadangan penambahan RM45 bilion lagi untuk Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020.

KUALA LUMPUR: Pembangkang menggesa kerajaan menambah suntikan fiskal untuk pembiayaan Covid-19 sebanyak RM45 bilion lagi.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata, pihak pembangkang juga bersedia menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 jika jumlah itu digandakan menjadi RM90 bilion.

Katanya, RM45 bilion yang diumumkan untuk ditambah menerusi RUU itu tidak mencukupi bagi membantu orang ramai dan perniagaan yang berdepan kesukaran akibat pandemik berkenaan.

“Sekiranya boleh naikkan RM45 bilion lagi, kita boleh ketepikan kepentingan politik. Pembangkang sedia menyokong RUU itu 100% dengan syarat naik RM45 bilion lagi.

“Marilah kita cipta sejarah kalau kita nak selamatkan ekonomi negara. Tanpa tambahan RM45 bilion, ia tak mencukupi. Macam mencurah air di daun keladi,” kata bekas menteri kewangan itu di Dewan Rakyat hari ini ketika membahaskan RUU berkenaan.

Sementara itu, Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) bangkit mencelah, mengkritik cadangan Lim apabila pemimpin itu sebelum ini menyifatkan negara tidak mempunyai dana dan akan bankrap.

“Sekarang nak minta tambah, dulu kata negara nak bankrap. Lepas ini tahun depan kalau perlu kita tambah lagi, apa masalahnya,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika sesi perbahasannya turut mengkritik tindakan Lim yang mencadangkan penambahan peruntukan tambahan dari RM45 bilion kepada RM90 bilion bagi mendepani penularan Covid-19.

Katanya, apa saja dilakukan kerajaan pasti tidak akan disokong pembangkang sambil menyifatkan gabungan itu lebih mengutamakan politik berbanding rakyat.

“Apa pun yang kita lakukan di mata pembangkang semuanya tidak betul, cuma mereka sahaja yang betul,” katanya.

Katanya, pihak menteri kewangan dan kerajaan sudah membuat perkiraan sewajarnya untuk menambah peruntukan RM45 bilion.

“Isunya bukan soal setuju atau tidak setuju tambah RM90, menteri kewangan memang orang bijak, dia tahu urus ekonomi dan kita serah kepada beliau untuk rancang, kalau ada keperluan lagi selepas ini (untuk tambah) mereka akan lakukan, bukan setakat RM45 bilion nak tambah RM250 bilion pun boleh tambah jika ada keperluan. Sebab itu kita letak orang bijak, menteri kewangan dia tak main politik, dia buat keputusan dia melihat kepada unjuran ekonomi dunia,” katanya.

Bung turut mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak menjual aset negara seperti dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Kalau ada keperluan nak tambah tambahlah, yang penting jangan pinjam dengan bo samurai, kerana ia akan memotong leher kita.

“Kalau ada nak tambah, asal tidak jual aset, PH dulu semua jual, kita tidak mahu kerajaan sekarang jual tanah, jual itu ini, jual tanah air ini, kerana yang jual tanah air ini penderhaka namanya,” katanya.

Kerajaan membentangkan RUU itu membabitkan perbelanjaan tambahan berjumlah RM45 bilion.

Langkah itu antaranya menaikkan had jumlah wang yang boleh diperoleh mengikut Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 (Akta 637) dan jumlah wang yang boleh diterima di bawah Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275), bagi menubuhkan Kumpulan Wang Covid-19.

Ia termasuk membenarkan wang itu digunakan untuk program bawah pakej rangsangan ekonomi dan pelan pemulihan ekonomi serta peruntukan bagi perkara berkaitan.

Berdasarkan RUU itu, program subsidi upah, insentif pengekalan pekerjaan dan pengambilan pekerja dan bantuan latihan menerima peruntukan tertinggi iaitu RM16.8 bilion.

Ia turut membabitkan RM11.2 bilion bagi Bantuan Prihatin Nasional, projek berskala kecil (RM4 bilion) masing-masing RM2 bilion untuk program kemahiran dan peningkatan kemahiran serta Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Penjana selain Geran Perihatin PKS (RM1.9 bilion).

Selain itu, sejumlah RM500 juta bagi diskaun bil elektrik, bantuan khas pelajar institusi pengajian tinggi (RM300 juta) dan subsidi pengangkutan awam MY30 (RM200 juta).