PKR Sarawak lebih kuat selepas pemimpin keluar parti, kata ketua negeri

Larry Sng menafikan ramalan seorang penganalisis politik yang PKR Sarawak akan gagal menarik sokongan orang Dayak dan Melayu, selepas beliau dilantik sebagai ketua negeri itu.

PETALING JAYA: Tindakan beberapa pemimpin kanan, termasuk bekas menteri persekutuan, Baru Bian dan penyokong mereka berpaling tadah awal tahun ini memberi nafas baru kepada PKR Sarawak, kata pemimpin negeri, Larry Sng.

Katanya, pembelotan itu juga membawa kepada pertambahan keahlian, dengan lebih 1,000 ahli baru menyertai parti dan kurang 300 “pengkhianat” melompat parti.

“Sebelum ini, ramai pemimpin Dayak dipinggirkan daripada parti disebabkan ketidakyakinan pucuk pimpinan terdahulu.

“Mana-mana pemimpin Dayak yang berkebolehan akan dilihat sebagai ancaman kepada beberapa bekas pemimpin ini dan mereka kemudiannya akan menyingkirkan pesaing mereka,” katanya kepada FMT.

Sng berkata, semasa Baru keluar parti, pucuk pimpinan baru berusaha mendekati kumpulan yang dipinggirkan itu.

Katanya, kumpulan pemimpin itu dan penyokong mereka “dengan gembira kembali” kepada parti.

“Mereka tahu mereka tidak akan dipinggirkan lagi,” katanya sambil menambah kumpulan itu ialah penyokong kuat PKR yang sebelum ini dinafikan peluang untuk menyerlah.

Baru, bekas menteri kerja raya yang bersekutu dengan bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, keluar parti ketika krisis politik pada Februari lalu yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau kemudiannya menyertai parti pembangkang, Parti Bersatu Sarawak (PSB).

Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju juga keluar parti awal tahun ini.

April lalu, PKR memecat Adun Batu Lintang, See Chee How kerana menyuarakan sokongan secara terbuka kepada platform politik lain.

Sng berkata, PKR lebih kuat daripada dahulu.

Beliau turut menafikan ramalan seorang penganalisis politik yang PKR Sarawak akan gagal menarik sokongan orang Dayak dan Melayu, selepas beliau dilantik sebagai pengerusi negeri.

Bulan lepas, Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia menyifatkan PKR Sarawak tidak akan memberi sebarang impak di kawasan Dayak kerana ia dipimpin orang Cina.

“Saya rasa orang itu tidak tahu apa yang berlaku di lapangan. Dia baca terlalu banyak buku,” kata Sng.

Katanya, bagi PKR, sokongan komuniti Dayak “meningkat secara konsisten” dan sokongan akar umbi kekal utuh kerana PKR meneruskan prinsip perjuangan asal.

Beliau mendakwa komuniti Dayak kecewa dengan bekas pemimpin yang meninggalkan mereka tanpa sebarang perbincangan.

“Tetapi, pemergian mereka hanya memberi impak kecil kepada akar umbi Dayak kerana ia memberi laluan kepada pemimpin Dayak baru.”

Sementara itu, Sng menolak kenyataan PSB berpeluang menang besar dalam Pilihan Raya Negeri akan datang, jika parti itu tidak berganding dengan parti lain untuk menjatuhkan parti pemerintah negeri, Gabungan Parti Sarawak.

“Saya percaya jika mereka bertanding sendiri, mereka akan silap jika mereka fikir boleh menang.”

Beliau mendedahkan PH Sarawak sudah menyelesaikan isu pengagihan kerusi dengan PKR bertanding 46 kerusi.