Tindakan agresif nelayan Vietnam paksa tembakan dilepaskan, kata APMM

Dua bot nelayan Vietnam yang membawa 19 nelayan, termasuk tekong menangkap ikan secara haram di perairan negara kira-kira 81 batu nautika dari muara Tok Bali pada 3.30 petang Ahad. (Gambar Facebook APMM)

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Kelantan terpaksa melepaskan tembakan ke arah sebuah daripada 2 bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara, selepas pasukan keselamatan itu dibaling bom diesel serta dilanggar bot asing berkenaan.

Mengulas kejadian tembakan yang meragut nyawa seorang nelayan Vietnam pada 11.30 malam Ahad, Pengarah APMM Kelantan, Muhd Nor Syam Asmawie Yaacob berkata, nelayan asing itu turut membaling getah yang dibakar ke arah bot APMM bagi tujuan membakar bot pihak berkuasa.

“Walaupun APMM melepaskan tembakan amaran ke udara, nelayan asing terbabit enggan menyerah diri, sebaliknya bertindak lebih agresif dengan merempuh bot APMM, mengakibatkan seorang anggota melepaskan tembakan ke arah bot bagi mempertahankan diri,” katanya ketika membawa wakil media ke lokasi kejadian semalam.

Sebelum kejadian, pemantauan radar pihak berkuasa negara mengesan 2 bot itu yang membawa 19 nelayan, termasuk tekong menangkap ikan secara haram di perairan negara kira-kira 81 batu nautika dari muara Tok Bali pada 3.30 petang Ahad.

Mayat nelayan Vietnam berusia 30-an dihantar ke Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh untuk dibedah siasat. (Gambar Facebook APMM)

APMM kemudian menghantar sepasukan anggota bagi mengekori dan menahan bot nelayan asing terbabit.

Katanya, selepas tembakan dilepaskan pihak berkuasa, nelayan asing itu menyerah diri, manakala bot serta hasil tangkapan dengan nilai keseluruhan kira-kira RM2 juta dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim di Tok Bali untuk siasatan.

Sementara itu, Ketua Pengarah APMM, Mohd Zubil Mat Som berkata, anggotanya mematuhi “Rules of Engagement” penggunaan senjata api sebelum melepaskan tembakan ke arah bot Vietnam itu.

Beliau berkata, ini termasuk melepaskan tembakan amaran ke udara dalam usaha mempertahankan diri, nyawa dan aset kerajaan selepas bot nelayan Vietnam itu bertindak lebih agresif dengan merempuh bot penyelamat 7.

Bom diesel dan senjata keras, termasuk batang besi, bongkah kayu besar dan spanar yang dibaling ke arah bot APMM. (Gambar Facebook APMM)

Malah, katanya, siasatan ke atas bot Vietnam itu menemui beberapa senjata berbahaya yang disimpan bersama sejumlah bungkusan plastik bom diesel di dalam beberapa kotak penyimpanan ikan, menunjukkan mereka seolah-olah membuat persiapan awal melakukan tindakan ofensif apabila ditahan penguatkuasa Malaysia.

“Saya mengesahkan kejadian berlaku di luar Laut Wilayah (melepasi 12 batu nautika daripada garis pangkal), tetapi masih berada di dalam zon maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Zubil berkata, dalam kejadian itu, nelayan terbabit menyerang dengan membaling bom diesel dan senjata keras seperti batang besi, bongkah kayu besar dan spanar ke arah bot penyelamat 7 yang mengancam nyawa penguatkuasa dan harta kerajaan.

Bot nelayan terbabit bertindak lebih agresif apabila merempuh bot penyelamat 7 mengakibatkan bahagian depan kanan bot itu remuk, manakala badan dan tingkap cermin bot pecah akibat dilempar senjata tajam.

Katanya, APMM akan menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 7 (3) Akta APMM 2004 untuk menyiasat kejadian itu di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh penguatkuasa dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Bagi isu pencerobohan bot nelayan asing pula, Zubil berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

“Siasatan telus akan dilakukan sewajarnya ke atas kejadian ini dan APMM akan terus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang serta SOP sedia ada bagi mengawal perairan negara daripada dicerobohi nelayan asing.

“APMM mengambil perhatian serius akan tindakan ganas dan melampau nelayan Vietnam yang boleh memudaratkan nyawa penguatkuasa dan harta kerajaan.”

Dalam perkembangan lain, Zubil berkata, menerusi Op Kuda Laut sejak 24 Jun lalu, 43 bot asing ditahan dengan 487 kru nelayan Vietnam ditangkap.