Covid-19 kembali catat 2 angka, 16 kes baru hari ini

PETALING JAYA: Sebanyak 16 kes baru Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan kes positif kembali kepada 2 angka.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 12 adalah penularan dalam negara dan 4 kes import.

“Antara kes tempatan melibatkan 8 daripada kluster Tawar dan 3 kluster Sala.

“Manakala, kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara adalah bukan warganegara dari Bangladesh dan Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata 23 pesakit disahkan sembuh hari ini.

Jumlah kematian kekal 125 orang.

Sementara itu, 7 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 3 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 9,235 kes Covid-19 dengan 8,925 daripadanya sembuh.

Mengenai perkembangan terkini kluster Tawar, Noor Hisham berkata seramai 1,910 individu sudah disaring dan hasil ujian merekodkan 55 kes positif Covid-19 bagi kluster itu.

Sementara itu, bagi kluster Sala jumlah kes positif adalah 11 kes dengan 668 individu sudah disaring.