Goldman meterai perjanjian akhiri penyelesaian berkait 1MDB

Goldman Sachs perlu membuat pembayaran tunai AS$2.5 bilion kepada Malaysia dalam masa 10 hari. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Goldman Sachs Group Inc dan Malaysia menandatangani perjanjian memuktamadkan penyelesaian AS$3.9 bilion bank itu berhubung skandal 1MDB.

Bank Amerika Syarikat itu, yang mengumumkan perjanjian secara dasar pada 24 Julai lalu, mengesahkan persetujuan rasmi itu dalam pemfailan kawal selia di New York pada lewat Selasa.

Firma itu perlu membuat pembayaran tunai AS$2.5 bilion kepada Malaysia dalam masa 10 hari, kata individu yang tahu perkara itu minggu ini tetapi tidak mahu dinamakan.

Perjanjian itu menandakan langkah besar dalam menyelesaikan skandal 1MDB, dana negara yang menjadi fokus siasatan global ke atas rasuah dan pengubahan wang.

Perjanjian itu yang diumumkan bulan lalu menyatakan Goldman perlu membayar AS$2.5 bilion dan menjamin pemulangan aset 1MDB bernilai AS$1.4 bilion yang disita pihak berkuasa di seluruh dunia, sebagai pertukaran untuk Malaysia menggugurkan tuduhan ke atas bank itu.

Perjanjian itu membantu bank terbabit keluar daripada skandal terburuknya sejak krisis kewangan, manakala Malaysia mendapat kembali AS$4.5 bilion yang pendakwa raya dakwa hilang daripada 1MDB ketika ia mencari dana untuk pakej rangsangan besar-besarannya.

Pihak berkuasa beberapa negara menghabiskan bertahun-tahun untuk mengesan dana yang didakwa diseleweng dari 1MDB untuk membeli hasil karya seni dan hartanah mewah, kapal layar besar dan ironinya, penerbitan filem Hollywood terkenal “The Wolf of Wall Street”, mencatat era terdahulu jenayah kewangan.

Kes terhadap bank itu memfokuskan usahanya mengumpul dana AS$6.5 bilion pada 2012 dan 2013 untuk 1MDB, yang sebahagian besarnya didakwa diseleweng individu dikaitkan dengan bekas perdana menteri negara.

Kumpulan perbankan-pelaburan Goldman, yang ketika itu diketuai Ketua Pegawai Eksekutif sekarang, David Solomon, mengumpul AS$600 juta, jumlah yang banyak daripada penjualan bon.

Perjanjian itu tidak menyelesaikan siasatan kerajaan dan pengawal selia lain yang belum selesai berkaitan 1MDB, termasuk yang dilakukan Jabatan Kehakiman AS.