Kedudukan Zahid goyah selepas tentangan terbuka ketua Umno Sabah, kata penganalisis

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak akan menarik balik keputusannya memilih Bung Moktar Radin untuk menerajui jentera Barisan Nasional (BN) Sabah walaupun terdapat penentangan secara terbuka daripada ketua bahagian di negeri itu.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata, sidang media malam tadi, yang mana 12 ketua Umno Sabah membantah pelantikan Bung “tidak pernah berlaku”.

“Tidak pernah berlaku sebelum ini keputusan presiden Umno dipersoalkan secara terbuka oleh pemimpin Umno,” katanya kepada FMT.

Malam tadi ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan yang mengetuai 12 ketua bahagian berkata, pelantikan Bung tidak dirunding. Justeru ia bertentangan dengan kuasa autonomi penuh yang diberikan kepada negeri itu tahun lalu.

Katanya, mereka tidak mahu seorang pemimpin yang perlu menghadiri kes mahkamah atas dakwaan rasuah berkempen untuk gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 September ini.

“Persoalannya, adakah Zahid berunding dengan semua pemimpin bahagian sebelum memilih Bung. Jika beliau tidak berbuat demikian, maka penentangan terbuka itu ada asasnya,” kata Kamarul.

Beliau berkata, perkara itu tidak memberi petanda yang baik kepada Umno kerana ia menimbulkan persoalan mengenai autonomi diberikan kepada Umno Sabah.

Kamarul berkata, beliau memahami mengapa Zahid terpaksa memilih Bung kerana beliau adalah pengerusi BN negeri dan tetap setia kepada Umno dan BN walaupun mereka kehilangan kuasa.

“Ini adalah hujah yang kukuh. Tetapi jika Zahid setuju dengan hujah Rahman yang Bung tidak boleh memimpin kerana perbicaraan rasuahnya, hujah itu dengan mudah dapat disampaikan kepada beliau.

“Akan ada orang yang akan mempersoalkan kedudukan Zahid sebagai presiden Umno. Orang akan tanya, ‘Bagaimana jika akar umbi tidak mahu kamu kekal sebagai presiden? Apa yang akan kamu lakukan?” katanya.

Katanya, ia akan meletakkan Zahid dalam keadaan tidak menentu.

Bagaimanapun, beliau yakin Zahid akan berpegang kepada keputusannya itu yang memilih Bung.

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, ia jelas bahawa elit politik dalam Umno terlibat dalam perang proksi menggunakan Bung dan Rahman.

“Ini berlaku ketika rakyat sedang bergelut dan isu sebenarnya dibayangi oleh perebutan kuasa.

“Saya percaya ini akan mendorong rakyat untuk memilih Warisan dan Pakatan Harapan di Sabah, bukan kerana mereka menyokong, tetapi kerana mereka bosan dengan perebutan kuasa,” katanya.

Namun, beliau berkata Zahid mungkin akan tetap dengan keputusannya kerana dia tidak mahu dilihat lemah.