Mahkamah benarkan anak syarikat PetroSaudi keluar AS$1.36 juta bayar kos operasi, yuran guaman

PetroSaudi Oil Services (Venezuela) memohon untuk menggunakan wang yang didakwa datang daripada 1MDB. (Gambar AP)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Ltd, anak syarikat PetroSaudi International, meminda perintah sementara yang melarangnya menggunakan sebahagian daripada AS$340 juta disimpan dalam akaun sebuah firma guaman London.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Nazlan membuat keputusan itu selepas peguam Alex Tan, yang mewakili PetroSaudi Oil Services (Venezuela), berkata sebuah mahkamah di London pada 7 Ogos lalu membenarkan pengeluaran dibuat berhubung bayaran perbelanjaan perniagaan dan yuran guaman.

PetroSaudi Oil Services (Venezuela) memohon untuk menggunakan AS$1.36 juta yang disimpan dalam akaun eskrow Clyde & Co LLP.

Kerajaan bagaimanapun berhujah AS$340,258,246.87 datang daripada 1MDB. Bulan lalu, mahkamah membenarkan perintah sementara melarang PetroSaudi International dan Pengarahnya, Tarek Obaid menggunakan wang itu.

Perintah larangan itu dipohon di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lufti Mohamed berkata, mereka tiada bantahan terhadap pindaan itu.

Nazlan kemudiannya berkata, pindaan itu akan dikekalkan sehingga pelupusan perintah larangan utama pada 28 Ogos.

Selain AS$340 juta, kerajaan cuba melarang penggunaan wang yang disimpan dalam sebuah akaun bank di bawah nama Temple Fiduciary Services Ltd, jumlah itu tidak dinyatakan.

Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Afiq Abd Aziz mengesahkan afidavit untuk permohonan perintah larangan itu.

SPRM mendakwa wang itu ada kaitan dengan konspirasi untuk menipu 1MDB membabitkan Tarek, Low Taek Jho dan bekas perdana menteri, Najib Razak.