Menteri tak kuarantin: Kerajaan jangan ‘double standard’ kata Teresa

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata terdapat individu yang diuji negatif Covid-19 pada mulanya namun didapati positif beberapa hari selepas itu.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mengkritik kerajaan kerana mengamalkan “double standard” selepas seorang wanita berusia 72 tahun dipenjara dan didenda kerana ingkar arahan kuarantin namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap menteri yang tidak berbuat demikian.

“Majistret menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM8,000 ke atas Nur Emas Mohamad Hashim. Sepatutnya tindakan mahkamah juga harus diambil terhadap menteri Kabinet ini.

“Ramai rakyat Malaysia dan warga asing yang pulang dari luar negara negatif Covid-19, tetapi masih diminta menjalani kuarantin selama 14 hari. Kenapa layanan istimewa diberi kepada menteri Kabinet yang pulang dari luar negara ini?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mempersoal tindakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu walaupun dilaporkan negatif.

“Ini bermaksud kehadiran beliau (Khairuddin) di Parlimen sejak 13 Julai lalu dan kehadirannya di beberapa mesyuarat dan majlis sememangnya membawa risiko kepada semua yang hadir dan bersama beliau ketika itu,” katanya.

Beliau berkata, terdapat individu yang diuji negatif Covid-19 pada mulanya, namun didapati positif beberapa hari selepas itu.

“Itu sebab kuarantin 14 hari harus dipatuhi oleh semua yang pulang dari luar negara, termasuk menteri Kabinet,” katanya.

Beliau turut mengemukakan data kes Covid19 di Turki dalam tempoh lawatan Mohd Khairuddin iaitu pada 3 hingga 7 Julai lalu yang menunjukkan seramai 93 kematian sepanjang tempoh itu.

“Data ini jelas menunjukan negara Turki bukan zon hijau pada waktu beliau mengadakan lawatan,” katanya.

Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) harus mengambil tindakan terhadap Khairuddin bagi memastikan agensi itu tidak mengamalkan “double standard” dari segi penguatkuasaan.