Nelayan Vietnam tenggelamkan bot demi elak ditahan, kata APMM

Dua daripada 8 bot nelayan Vietnam yang dirampas APMM menerusi Op Kuda Laut di Pengkalan Maritim Kemaman semalam. (Gambar Bernama)

CHUKAI: Nelayan Vietnam sanggup menenggelamkan bot mereka bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), selepas ditangkap menceroboh dan mencuri hasil laut.

Pengarah APMM Pahang, Amran Daud berkata, taktik itu dikesan dilakukan awak-awak yang menaiki sebuah daripada 9 bot Vietnam ditahan dalam Op Kuda Laut di perairan pantai timur pada 16 dan 17 Ogos lalu.

Katanya, 7 bot ditahan pada jarak 68 hingga 147 batu nautika dari Kuala Kemaman, manakala 2 lagi bot ditahan di Kelantan petang kelmarin.

“Ketika proses menunda bot ke jeti Maritim Kemaman, 2 nelayan Vietnam bertindak mensabotaj bot berkenaan sehingga mengalami kebocoran dan mengakibatkan bot tersebut karam pada jarak 30 batu nautika dari Kuala Kemaman pada 3.34 pagi tadi (semalam).

“Bagaimanapun, 3 anggota APMM bersama 2 nelayan yang berada di atas bot berkenaan berjaya diselamatkan.

“Kami percaya tindakan sedemikian dilakukan nelayan Vietnam untuk melupuskan bukti kes, yang mana sebelum ini mereka pernah melakukan tindakan sama,” katanya pada sidang media di Pengkalan Zon Maritim Kemaman semalam.

Sebahagian daripada 111 nelayan Vietnam yang ditahan APMM dalam Op Kuda Laut di Pengkalan Maritim Kemaman semalam. (Gambar Bernama)

Beliau berkata, 4 bot menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa dan mengelakkan ditahan.

“Turut dirampas 15 tan metrik hasil laut, 20,000 liter diesel dan peralatan menangkap ikan bernilai RM10 juta, tidak termasuk bot karam. Semua rampasan dan tangkapan dibawa ke jeti Zon Maritim Kemaman dan jeti maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut.”

Amran berkata, 111 nelayan termasuk tekong yang ditahan berusia 17 hingga 55 tahun, didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara, serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan kebanyakan kru kapal itu yang berusia 17 hingga 57 tahun tidak memiliki sebarang dokumen sah.

Mengikut rekod, sejak 26 Jun sehingga kini, OP Kuda Laut Maritim berjaya menahan 45 bot nelayan asing bersama 502 awak-awak, termasuk tekong.

Katanya, APMM tidak akan berkompromi dengan nelayan asing yang menceroboh perairan negara dan mengaut hasil laut tanpa kebenaran.

“Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti menyalahi undang-undang maritim.”