NUTP kesal video ayah pandai masak ketum tular

Presiden NUTP Aminuddin Awang berkata semua pihak perlu bertenang dan menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menjalankan siasatan. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) kesal berhubung 1 rakaman video tular pagi ini membabitkan seorang murid yang mengaku bapanya pandai memasak air ketum.

Presiden NUTP Aminuddin Awang berkata, pihaknya belum mendapat maklumat bagaimana video itu boleh tersebar.

“Kami yakin guru berkenaan tidak ada niat ‘tersembunyi’ semasa merakamkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

“Kami juga yakin jawapan murid ketika ditanya oleh guru adalah di luar jangkaan guru berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Video membabitkan murid itu tular hari ini yang menunjukkan seorang guru wanita bertanya bapa siapa pandai memasak, sebelum seorang kanak-kanak mengangkat tangan dan menjawab bapanya pandai memasak air ketum.

Aminuddin berkata, semua pihak perlu bertenang dan menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menjalankan siasatan.

“Pada masa sama, NUTP berharap semua guru akan lebih berhati-hati dalam mengendali dan menguruskan media sosial supaya kejadian tidak diingini seperti ini tidak berulang.

“Guru perlu berfikir dengan matang, rasional dan berhati-hati apabila hendak berkongsi video berkaitan dengan murid,” katanya.