Pejuang serah permohonan pendaftaran parti

Mukhriz Mahathir bersama Maszlee Malik (kiri) dan Marzuki Yahya menunjukkan salinan permohonan Pejuang kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) hari ini.

PUTRAJAYA: Parti baharu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Pejuang, sudah menyerahkan permohonan pendaftaran parti kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) hari ini.

Anak Mahathir, Mukhriz, berkata permohonan diserahkan kepada Ketua Pengarah JPPM Masyati Abang Ibrahim.

Beliau berkata, JPPM akan meneliti butir permohonan untuk memastikan ia mematuhi syarat yang ditetapkan bawah Akta Pertubuhan.

“Kami berharap JPPM akan meluluskan permohonan secepat mungkin supaya kami dapat mengambil bahagian dalam proses demokrasi Malaysia,” katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat JPPM.

Mukhriz berkata, parti itu akan mengadakan mesyuarat berhubung pemilihan parti secepat mungkin apabila permohonan itu diluluskan untuk memilih 21 orang sebagai ahli majlis eksekutif Pejuang.

Beliau berkata, mereka sudah memberi 7 nama pengasas parti itu kepada JPPM termasuk Mahathir, Mukhriz, Marzuki Yahya, Maszlee Malik, Amiruddin Hamzah dan Shahruddin Md Salleh.

Marzuki, Maszlee, Shahruddin dan Abu Bakar Yahya turut hadir.

Sebelum ini Mahathir yang juga bekas pengerusi PPBM berkata, beliau akan menubuhkan sebuah parti Melayu baharu yang bebas kerana parti lamanya lari daripada perjuangan asal.

Ahli politik veteran itu yang berusia 95 tahun bulan lalu pernah berkata, beliau mungkin menyertai parti sedia ada atau menubuhkan parti baharu.

Mahathir berkata, beliau dan bekas pemimpin PPBM lain termasuk Mukhriz, Maszlee dan Marzuki perlu menubuhkan parti baharu untuk melawan rasuah kerana parti Melayu lain menyeleweng daripada perjuangan asal dan mementingkan wang serta kuasa.