Peluang kerja dalam pembuatan, perkhidmatan bertambah, kata agensi rekrut

Pandemik Covid-19 menyebabkan peningkatan ketara dalam permintaan pekerjaan gig atau bebas.

PETALING JAYA: Walaupun kadar pengangguran dilaporkan meningkat, analisis sebuah agensi pekerjaan menunjukkan beberapa sektor giat mengambil pekerja dan permintaan untuk pekerja bebas juga dijangka meningkat.

FastJobs mendapati industri yang sedang mencari pekerja adalah sektor pembuatan, pembinaan, pendidikan dan latihan, perkhidmatan, telekomunikasi, penjagaan kesihatan dan farmaseutikal.

Sektor perkhidmatan turut merangkumi borong, pengedaran, dandanan, e-dagang, makanan dan minuman.

Pengurus Besarnya, Joelle Pang berkata berdasarkan analisis mereka mengenai trend pengambilan pekerja, terdapat peningkatan sebanyak 250% sejak Mac lalu dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

Beliau mengaitkan situasi itu dengan “permintaan terpendam” dan pengguna yang kembali ke pasaran pekerjaan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPB).

“Ini terbukti berdasarkan peningkatan dalam pendaftaran pencari kerja dan penempatan pekerjaan oleh majikan berdaftar kami dalam industri F&B,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, menurut laporan media, ramai kakitangan operasi diberhentikan semasa PKP dan PKPB, oleh itu terdapat peningkatan besar dalam permintaan untuk menyokong operasi perniagaan bagi perkhidmatan F&B yang kembali beroperasi.

Katanya, bagi sektor pembuatan dan gudang pula, setakat 1 Julai lalu, terdapat peningkatan sebanyak 200% dalam pengambilan pekerja sejak Mac lalu.

Joelle Pang berkata, pekerjaan sambilan dan kontrak meningkat hampir 100%.

Pang berkata, sektor pembuatan yang terjejas sebelum ini akibat gangguan rantaian bekalan, kini kembali beroperasi “dalam norma baru”.

Bagi sektor gudang pula, PKP menyebabkan lonjakan pembelian atas talian.

“Ini menyebabkan banyak syarikat mengambil pekerja untuk penghantaran dan logistik, serta gudang bagi memenuhi permintaan dan bekalan.”

Beliau turut mendapati banyak syarikat sedang mencari pembantu maya, penyambut tetamu dan pekerja pentadbiran. Setakat 1 Julai lalu, permintaan meningkat sebanyak 50%.

Permintaan bagi jawatan di pusat panggilan turut meningkat 125% setakat 1 Julai lalu.

“Kami melihat perubahan ke arah permintaan untuk pekerja sambilan dan kontrak, khasnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ketika mereka mula mendapat keyakinan dalam perniagaan mereka.”

Katanya, berdasarkan pemerhatian awal mereka, jawatan pekerja sambilan dan kontrak meningkat hampir 100%, khasnya selepas negara memasuki tempoh PKPP pada 10 Jun lalu.

“Lebih ramai majikan mencari pekerja sambilan untuk mendapatkan kembali momentum perniagaan mereka.”

Pang mendapati pandemik Covid-19 menyebabkan peningkatan ketara dalam permintaan untuk pekerjaan gig atau bebas.

“Ini kerana pencari kerja mahu meraih pendapatan tambahan dalam tempoh tidak menentu ini.”