Perhilitan cadang sebat pemburu haram selain denda RM1 juta

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Abdul Kadir Abu Hashim berkata pihaknya percaya hukuman sebat salah 1 cara mencegah aktiviti pemburu haram.

SEPANG: Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Abdul Kadir Abu Hashim mencadangkan hukuman lebih berat denda RM1 juta dan penjara 15 tahun serta sebatan dikenakan kepada pemburu haram.

Katanya, cadangan itu dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang untuk meminda hukuman berkenaan bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Kalau tidak ada apa-apa halangan kita akan bawa masuk untuk pinda akta di Parlimen, yang mana hukumannya maksimum sampai RM1 juta, penjara sehingga 15 tahun, kita akan tingkatkan hukuman.

“Di bawah akta sedia ada sekarang hukumannya penjara 5 tahun dan denda RM500,000 maksimum,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat operasi bersepadu khazanah (OBK) hari ini.

Abdul Kadir Abu Hashim

Pihaknya juga sedang mengkaji hukuman sebat kepada kepada pemburu haram.

“Kita pecaya hukuman sebat salah 1 cara mencegah aktiviti pemburu haram, bagaimanapun kita sedang mengkajinya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kadir berkata menerusi OBK pada 2019 sebanyak 36 kertas siasatan dibuka dan disiasat bawah Akta Pemuliharaaan Hidupan Liar 2010, Akta Perhutanan Negara 1984, Akta Imigresen 1959/63, Akta Senjata 1960, Enakmen Taman Negara Pahang (pindaan) 2018 dan Enakmen Taman Negara Johor yang melibatkan 82 pesalah jenayah, dan 460 jera dimusnahkan.

Katanya, hingga Ogos tahun ini sebanyak 22 operasi dijalankan dan 43 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan jenayah.

“Seramai 86 pesalah ditahan dan disiasat terdiri daripada 62 warga Malaysia, 9 Indonesia, 7 Kemboja, 4 warga Vietnam serta 4 Sudan. Jumlah keseluruhan nilai sitaan RM1,368,000.00.

“Sebanyak 543 jerat dimusnahkan, 76 kesan khemah PATI, 16 kesan tebangan pokok karas serta 215 kesan pemburuan lain direkodkan sepanjang OBK hingga Ogos 2020.

“Sebanyak 6 kes sedang melalui proses pertuduhan dan bicara di mahkamah, 4 kes selesai di mahkamah manakala 33 kes lagi dalam peringkat siasatan lanjut,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, terdapat juga rakyat Malaysia yang menjadi orang tengah kepada pemburu haram dari Vietnam, Kemboja dan Thailand memasuki negara.

Katanya, antara kejayaan pelaksanaan OBK penahanan seorang suspek amat dikehendaki dan aktif dalam pemburuan gajah, harimau dan spesies hidupan liar lain di Jerantut, Pahang pada 10 Julai lalu.

“Suspek itu ada orang kanan dan kiri dia. Dia akan potong gading gajah dan hantar ke negara jiran. Suspek ditahan di Jerantut tapi dia banyak bergerak di Kelantan dan Perak sejak 3 tahun lepas,” katanya.