Pertelingkahan terbuka pemimpin isyarat perubahan Umno belum lengkap

Naib ketua Pemuda Umno Ampang Syaiful Arief Mohamed Said berkata pertelingkahan terbuka itu tidak berkisar kepada isu penting rakyat Sabah.

PETALING JAYA: Pertelingkahan terbuka antara pemimpin Umno memberi isyarat perubahan dalam parti itu masih belum lengkap, kata Presiden Kelab Jaringan Naib-Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia (Kagum), Syaiful Arief Mohamed Said.

Beliau yang juga naib ketua Pemuda Umno Ampang berkata, insiden itu dikhuatiri menjejaskan moral jentera pilihan raya di peringkat negeri dan nasional selain menghakis keyakinan rakan parti lain yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Umno.

Katanya, Kagum terkejut dengan kritikan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan berhubung pengumuman presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi melantik Bung Moktar Radin mengetuai jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Syaiful Arief Mohamed Said

Walaupun isu diketengahkan Rahman tidak konsisten dengan keputusan kepimpinan tertinggi Umno, namun Syaiful menyifatkan perbezaan pandangan secara terbuka sebelum PRN Sabah mengejutkan.

“Umum mengetahui kerajaan Sabah di bawah Warisan-PH tumbang kerana perbalahan terbuka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang tidak lagi menyokong kepimpinan ketua menteri mereka.

“Justeru, melihat kepimpinan Umno menzahirkan perbezaan pandangan secara terbuka dibimbangi menghantar isyarat yang tidak baik kepada pengundi di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam sidang media semalam, Rahman mengetuai 12 ketua Umno di Sabah mendakwa pelantikan Bung tidak dirunding, justeru ia bertentangan dengan kuasa autonomi penuh yang diberikan kepada negeri itu tahun lalu.

Katanya, mereka tidak mahu seorang pemimpin yang perlu menghadiri kes mahkamah atas dakwaan rasuah berkempen untuk gabungan itu PRN 26 September ini.

Syaiful turut menganggap pertelingkahan terbuka itu tidak berkisar kepada isu penting rakyat Sabah.

“Kagum menyokong mana-mana pihak bersedia mencalonkan personaliti yang segar, berwawasan dan diterima rakyat Sabah supaya agenda pemulihan ekonomi Sabah pasca Covid-19 yang direncatkan oleh kegagalan Warisan-PH dapat diteruskan secepat mungkin,” katanya.