Presiden Belarus cela penubuhan majlis pembangkang

(Gambar AP)

MINSK: Presiden Belarus Alexander Lukashenko mengecam majlis yang ditubuhkan pembangkang pada Selasa, mengatakan ia sebagai cubaan untuk merampas kuasa, beberapa hari selepas pilihan raya yang mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran.

Ramai pemimpin pembangkang Belarus dipenjarakan atau dalam buangan, termasuk calon presiden Sviatlana Tsikhanouskaya, yang melarikan diri selepas pemilihan yang menurut penyokong dimenanginya.

Ribuan penunjuk perasaan turun ke jalanan, menghadapi tindakan keras pihak berkuasa, bagi menuntut Lukashenko meletak jawatan.

Wakil Tsikhanouskaya, Olga Kovalkova, pada sidang media mengumumkan penubuhan majlis baharu pembangkang itu, menjangkakan Tsikhanouskaya akan kembali ke Minsk tidak lama lagi, untuk menjadi penjamin kepada peralihan kuasa yang sedang dirundingkan.

“Kami akan mengikut cara yang sah,” kata Kovalkova.

“Keadaan kini sangat genting. Pihak berkuasa tiada pilihan tetapi berdialog. Situasi akan bertambah buruk.”

Semasa beliau memberi ucapan kepada pegawai tinggi jawatankuasa keselamatannya yang disiarkan dalam televisyen, Lukashenko mengatakan jawatankuasa pembangkang yang terancang itu sebagai “cubaan untuk merampas kuasa” dan berjanji untuk “mengambil tindakan yang sesuai”.

Selepas keputusan rasmi mengumumkan beliau sebagai pemenang dengan 80% undi, Lukashenko nampak seperti memandang rendah kemarahan rakyat dalam keadaan negara mengalami kesusahan ekonomi dan epidemik koronavirus.

Sekurang-kurangnya 2 penunjuk perasaan terbunuh dan beribu ditahan.