Sumatera dilanda 2 gempa kuat

JAKARTA: Dua gempa bumi kuat menggegarkan selatan Sumatera di Indonesia awal pagi tadi, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan, lapor Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Gempa berukuran 6.8 dan 6.9 pada skala Richter itu berlaku selang 6 minit pada 5.23 pagi ini.

Menurut Sistem Amaran dan Mitigasi Tsunami Lautan Hindi, tiada “ancaman kepada negara berhampiran Lautan Hindi”.

USGS berkata, ada “kemungkinan rendah berlaku kerosakan dan kematian.”

Kepulauan Asia Tenggara itu sering mengalami gempa bumi dan letusan gunung berapi berikutan kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, zon luas tidak stabil dengan pertembungan plat tektonik.

Pada 2018, gempa berukuran 7.5 pada skala Richter yang diiringi tsunami melanda Sulawesi menyebabkan lebih 4,300 orang terkorban atau hilang.

Gempa dengan kekuatan 9.1 pada skala Richter melanda Sumatera pada 2004 yang mencetuskan tsunami dan mengorbankan 220,000 nyawa di seluruh rantau ini, termasuk sekitar 170,000 orang di Indonesia.