Pasukan khas tangani isu Felda bentang laporan selewat-lewatnya bulan depan

Pasukan Khas Menangani Isu Felda dijangka membentangkan laporan penuh selewat-lewatnya awal bulan depan.

TANJUNG MALIM: Pasukan Khas Menangani Isu Felda yang dipengerusikan Abdul Wahid Omar akan membentangkan laporan penuh berkaitan agensi itu termasuk usaha pengukuhan kewangannya, selewat-lewatnya awal bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata laporan itu merupakan susulan daripada pembentangan kertas putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan’ (Felda) yang dibentangkan di Parlimen pada April tahun lalu.

“Pasukan khas ini yang ditubuhkan kerajaan telah hampir siap laporannya dan kami jangka seminggu 2 lagi akan disampaikan secara rasmi kepada kerajaan.

“Pembentangan dijangka bulan ini, atau paling lewat awal bulan depan dan kami harap pada Oktober, kerajaan akan dapat mengumumkan beberapa tindakan untuk memastikan kelestarian Felda,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan Felda Trolak Utara dan Selatan di Slim River di sini, hari ini.

Pengumuman mengenai penubuhan Pasukan Khas Menangani Isu Felda dibuat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2020 bulan lalu di sini dalam usaha mengenal pasti kaedah terbaik bagi menjamin kelestarian kewangan Felda demi manfaat warga peneroka.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga ahli Parlimen Jeli berkata selain mencari kaedah untuk memperkukuhkan kewangan Felda, laporan itu turut akan mengandungi model bagi mengurangkan beban hutang yang ditanggung peneroka dan usaha meningkatkan pengeluaran.

“Hari ini pengeluarannya adalah antara 19 hingga 20 tan bagi setiap 0.40 hektar setahun kepada sasaran 25 tan setahun dan sasaran ini mampu dicapai dengan teknologi baru,” katanya.

Mengenai Lembah Herba Wilayah Trolak sebagaimana diumumkan Muhyiddin sebelum ini, Mustapa berkata ia merupakan antara usaha untuk meningkatkan pendapatan dengan pemantauan berterusan perlu dilakukan untuk memastikan kejayaannya.

Sementara itu, ditanya mengenai pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mustapa yakin peneroka Felda yang berjumlah lebih 13,000 daripada keseluruhan 23,094 pengundi di kawasan itu akan memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz berikutan usaha kerajaan meningkatkan taraf sosial dan ekonomi warga Felda.

PRK DUN Slim akan menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon BN Mohd Zaidi Aziz, 43, dan 2 calon Bebas iaitu S. Santhasekaran, 44, dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, mewakili Pejuang yang baru mengemukakan permohonan rasmi penubuhan, semalam.