Tinggal Umno, BN, dekati PH, bukan ‘hijrah yang baik’, kata Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak dalam ucapan Tahun Baru Hijrahnya berkata, ‘hijrah’ kepada PH tidak menjadikan negara dan rakyat bertambah baik.

PETALING JAYA: Tindakan sebilangan orang yang tidak lagi menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) semata-mata kerana mahu mendekati Pakatan Harapan (PH) bukanlah satu penghijrahan baik, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, semua maklum bahawa “penghijrahan” itu tidaklah menjadikan negara atau rakyat lebih baik meskipun ada yang berfikir ia lebih baik.

Beliau turut mengaitkan nasib sebahagian rakyat yang diberhentikan kerja, ditarik bantuan kerajaan, berdepan pengangguran meskipun dijanjikan sejuta peluang pekerjaan, diperdaya dengan janji penghapusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Felda serta aset Islam dilelong sebagai bukti kerajaan PH bukan pilihan lebih baik.

“Suka saya mengaitkan hijrah yang ketiga ini (meninggalkan atau memulaukan orang yang melakukan perkara yang dilarang atau tidak baik) dengan situasi di negara kita Malaysia.

“Sebagaimana yang telah berlaku, ada yang telah meninggalkan orang-orang Umno, ada yang telah meninggalkan Barisan Nasional (BN) semata-mata mahu menuju dan mendekati Pakatan Harapan.

“Mungkin mereka fikir itu lebih baik. Malangnya itu bukanlah hijrah, kerana semua telah maklum ‘penghijrahan’ itu tidaklah menjadikan negara lebih baik, tidaklah menjadikan rakyat lebih baik,”katanya sewaktu menyampaikan perutusan Tahun Baru Maal Hijrah 1442 di Facebooknya malam tadi.

Najib berkata, rakyat Malaysia perlu menghayati maksud hijrah sebenar dengan tidak perlu terpedaya dengan pihak yang “menjanjikan bulan dan bintang”.

Beliau turut mengajak orang ramai kembali menyokong Umno dan BN yang selama ini yang didakwanya, secara fakta, menjaga kebajikan rakyat secara amnya.

“Sempena tahun baru Maal Hijrah hari ini, saya dengan rendah diri ingin mengajak semua rakyat Malaysia hayatilah maksud sebenarnya hijrah.

“Kembalilah menyokong Umno dan BN yang selama ini secara faktanya menjaga kebajikan rakyat secara amnya. Berhijrahlah kepada orang-orang yang lebih baik,”katanya.