3 kumpulan mohon jadi pencelah saman cabar kewujudan sekolah vernakular

Ketiga-tiga pihak itu mengatakan dalam permohonan mereka bahawa mereka mempunyai minat secara terus dalam kes ini dan akan menjadi pihak terkilan jika plaintif itu berjaya dalam tindakan mereka. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tiga kumpulan berasaskan bahasa memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah dalam saman yang difailkan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia di Kota Bahru bagi mencabar kewujudan sekolah vernakular di Malaysia.

Peguam T Gunaseelan yang mewakili Majlis Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil, berkata permohonan itu difailkan awal minggu ini.

Tiga kumpulan itu dalam permohonan mereka berkata, mereka mempunyai kepentingan langsung dalam kes itu dan akan menjadi pihak terjejas jika plaintif berjaya dalam saman itu.

“Plaintif itu tidak akan mengalami kerugian jika permohonan kami untuk mencelah dibenarkan mahkamah,” kata mereka dalam dokumen mahkamah yang dilihat FMT.

Pengerusi Majlis Bahasa Cina, Heng Hong Chai, Pengerusi Persatuan Bahasa Tamil, R Permalu dan Pengerusi Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil, M Kumaran juga mengesahkan afidavit untuk menyokong permohonan mereka.

Gunaseelan berkata, beliau juga akan memohon kes di Kota Bahru itu dipindahkan ke Kuala Lumpur untuk didengar bersama tindakan serupa yang difailkan di ibu negara, jika permohonan menjadi pencelah oleh anak guamnya berjaya.

Plaintif, Mohd Azizee Hassan, yang juga presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia, memfailkan saman itu bagi pihak organisasinya Februari lalu untuk mencabar keperlembagaan Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan.

Menteri pendidikan dan kerajaan dinamakan sebagai defendan.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia memfailkan saman sama di sini Februari lalu.

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) memfailkan saman sama pada Mac lalu.

Presiden Isma, Aminuddin Yahaya memohon perisytiharan Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan, yang membenarkan bahasa Cina serta Tamil menjadi bahasa pengantar utama di sekolah vernakular, bertentangan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 152 Perlembagaan menyatakan bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan.