AS bentang RUU larang gelaran presiden untuk pemimpin China

Pemimpin China ketika ini ialah Xi Jinping yang mempunyai 3 gelaran rasmi, iaitu ketua negara, pengerusi Suruhanjaya Tentera Pusat dan setiausaha agung PKC, tetapi tiada satu pun mempunyai gelaran presiden. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Penggubal undang-undang di Washington memperkenalkan rang undang-undang bagi mengharamkan penggunaan gelaran “presiden” buat pemimpin China, lapor South China Morning Post.

Akta Menamakan Musuh akan mewajibkan dokumen rasmi kerajaan AS merujuk ketua negara itu berdasarkan peranannya sebagai ketua Parti Komunis China (PKC).

Pemimpin China ketika ini ialah Xi Jinping yang mempunyai 3 gelaran rasmi, iaitu ketua negara, pengerusi Suruhanjaya Tentera Pusat dan setiausaha agung PKC, tetapi tiada satu pun mempunyai gelaran presiden.

Tetapi, bagi negara berbahasa Inggeris, termasuk Presiden AS, Donald Trump, pada umumnya memilih “presiden”, yang menurut pengkritik memberikan kesahan tidak wajar kepada pemimpin tidak dipilih rakyat.

“Menggelar ketua negara China sebagai ‘presiden’ memberi tanggapan tidak tepat yang rakyatnya mengesahkan pemimpin mereka melalui kaedah demokratik,” menurut RUU itu.

RUU itu menamakan China, walaupun hakikat presiden di beberapa negara juga tidak dipilih rakyat atau berkuasa akibat pemilihan yang tidak dianggap bebas dan adil.

Akhbar itu melaporkan, RUU yang dibentangkan Scott Perry, wakil Republikan dari Pennsylvania, akan melarang penggunaan dana persekutuan untuk “penghasilan atau penyebaran” dokumen rasmi dan komunikasi yang merujuk pemimpin China itu sebagai “presiden”.

RUU itu menyusul selepas ramai pegawai tinggi Kabinet, diketuai Setiausaha Negara, Mike Pompeo, baru-baru ini mula menggunakan istilah “setiausaha agung” berbanding “presiden”.

Satu laporan White House pada Mei lalu menggariskan pendekatan strategik Washington terhadap China dengan menggunakan gelaran parti Xi secara eksklusif.