Mahkamah Tinggi tolak permohonan jaminan kes remaja campak bayi

Tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian bayinya di laluan ke kawasan tempat letak kenderaan aras 4, Sri Ivory Apartment, Bandar Baru Ayer Itam, pada 8.25 pagi 10 Julai, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi hari ini menolak pemohonan seorang remaja yang berdepan pertuduhan membunuh bayi baru dilahirkannya untuk dibebaskan dengan jaminan.

Hakim Amirudin Abd Rahman yang membuat keputusan itu di hadapan tertuduh M Santhiea, peguam tertuduh RSN Rayer dan timbalan pendakwa raya Yazid Mustaqim Roslan.

Sementara itu, Rayer ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan rayuan akan dikemukakan di Mahkamah Rayuan.

Katanya tertuduh merupakan seorang wanita yang bersalin di tandas rumah sendiri dan kini masih dipenjara.

“Selepas mendapat arahan daripada anak guaman, saya akan kemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan hari ini,” hari ini.

Pada 16 Julai lalu, Santhiea, 18, dituduh membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkan di rumah keluarganya di Air Itam.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan di wad bersalin Hospital Pulau Pinang, berikutan remaja itu masih menjalani rawatan di hospital berkenaan.