Penutupan masjid, surau di Kuala Nerus tiada kaitan menteri pulang dari Turki

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu Alias Razak berkata penutupan masjid dan surau itu dibuat selepas seorang individu dari Bintulu, Sarawak pulang ke Terengganu ketika musim perayaan disyaki mempunyai kaitan dengan jangkitan Covid-19. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Penutupan sebuah masjid dan surau di Kuala Nerus, Terengganu, selama 4 hari bermula Rabu lalu tiada kaitan dengan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali yang pulang dari Turki 7 Julai lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu Alias Razak berkata, penutupan masjid dan surau itu dibuat selepas seorang individu dari Bintulu, Sarawak pulang ke Terengganu ketika musim perayaan disyaki mempunyai kaitan dengan jangkitan Covid-19.

“Penutupan masjid dan surau di Kuala Nerus tiada kaitan dengan menteri (Khairuddin).Ia berkaitan dengan kes seorang individu dari Bintulu yang balik raya di kampung baru-baru ini,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau turut memaklumkan beberapa ujian saringan terhadap menteri itu juga negatif.

Alias berkata, 65 sampel sudah diambil membabitkan kontak rapat individu berkenaan dan setakat ini semuanya negatif.

Rabu lalu sebuah masjid dan surau di Kuala Nerus ditutup untuk proses disinfeksi dan nyah kuman berikutan dikunjungi individu dalam ujian pengesahan Covid-19.

Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya menerima makluman 1 kes disyaki Covid-19 membabitkan seorang lelaki berusia 30-an pada 18 Ogos lalu namun masih dalam proses ujian pengesahan di makmal.

Katanya, individu tidak bergejala itu mempunyai sejarah pulang bercuti ke negeri ini dan sepanjang berada di Terengganu pada 30 Julai hingga 15 Ogos, dia menziarahi sanak saudara dan kenalan rapat di beberapa lokasi.

“Walaupun pengesahan kes masih berjalan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah membuat pengesanan, pengasingan dan ujian saringan ke atas kontak rapat beliau.

“Kita juga akan menjalankan proses disinfeksi ke atas surau dan masjid yang dikunjunginya dan mengesyorkan ditutup kepada umum sehingga keputusan ujian pengesahan beliau dan ujian makmal semua kontak diperoleh,” katanya.

Ketika dihubungi FMT hari ini, Azimi memaklumkan sehingga kini semua individu yang mempunyai kontak rapat dengan individu terbabit sudah disaring dan dihantar kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Tiada lagi individu disaring. Semua kontak sudah disaring dan dihantar ke pusat kuarantin. Insya-Allah setakat ini keadaan baik-baik semua,” katanya.

Sebelum ini, Khairuddin yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus dikritik pembangkang kerana didakwa tidak menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari lawatan kerja ke Turki.

Malah berita penutupan masjid dan surau di Kuala Nerus itu tersebar di media sosial mengaitkan dengan beliau.