Prosiding siasatan kematian Nora Anne disiar secara langsung bermula Isnin

Mayat Nora Anne Quoirin ditemui berhampiran anak sungai kira-kira 2.5km dari resort penginapannya di Jalan Pantai, Seremban pada 13 Ogos tahun lepas.

SEREMBAN: Prosiding siasatan kes kematian remaja Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin yang bermula Isnin di Mahkamah Koroner, Kompleks Mahkamah Seremban, akan disiarkan secara langsung dalam talian.

Pejabat ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan Putrajaya dalam kenyataan di sini, hari ini, berkata, orang ramai boleh menyaksikannya melalui portal rasmi Badan Kehakiman Malaysia dan media sosial rasmi YouTube dan Facebook “The Malaysian Judiciary” bermula Isnin, pada pukul 9 pagi.

“Badan Kehakiman Malaysia akan mengadakan penstriman langsung mengenai prosiding itu,” menurut kenyataan itu.

Prosiding berkenaan akan berlangsung selama 2 minggu di hadapan koroner Maimoonah Aid, bermula 24 hingga 28 Ogos dan bersambung semula pada 1 hingga 4 September.

64 saksi akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan, jelas kenyataan itu.

Mayat Nora Anne, ditemui berhampiran anak sungai di kawasam berlurah, kira-kira 2.5km dari resort penginapannya bersama keluarga di Jalan Pantai, di sini pada 13 Ogos tahun lepas, susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan.

Laporan awal bedah siasat menyatakan, kematian remaja berkenaan yang merupakan golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus, yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.