Siti Kasim bebas tuduhan halang tugas berkait ratu cantik transgender

Siti Kasim bersama-sama peguam Suzana Nurlihan Alias di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, melepas dan membebaskan peguam Siti Kasim daripada pertuduhan menghalang tugas pegawai agama daripada menjalankan serbuan ke atas pertandingan ratu cantik transgender 4 tahun lepas.

Majistret Tawfiq Affandy Chin membuat keputusan bahawa pendakwa gagal membuktikan elemen pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, sebagai peguam, Siti hanya melindungi anak guammnya dengan bertanya kenapakah pegawai dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tidak menunjukkan waran untuk serbuan itu.

“Jawi patut menjalankan tugasnya dengan lebih hemah dan matang,” katanya.

Tawfiq juga berkata, pertuduhan itu cacat kerana tidak menyebut cara bagaimana halangan itu berlaku.

Siti dituduh menghalang pegawai Jawi Nor Jihan Saleh daripada menjalankan tugasnya semasa membuat serbuan ke atas acara pertunjukan fesyen transgender pada 3 April 2016.

Klip video menunjukkan Siti menjerit ke arah pegawai Jawi bertanyakan sama ada mereka mempunyai waran untuk menyerbu acara tertutup itu tular di media sosial.

Bercakap kepada pemberita selepas penghakiman dibuat, Siti berkata, keputusan itu menunjukkan beliau sepatutnya tidak didakwa sama sekali.

Katanya, beliau hanya bertindak sebagai peguam komuniti transgender pada acara itu.