Bekas Adun PKR cadang PPBM buka kepada semua kaum

Lee Chin Cheh berkata PPBM sudah tentu perlu melakukan usaha terbaik dan bersungguh untuk mewujudkan perpaduan mantap dalam semua lapisan masyarakat.

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR mencadangkan PPBM membuka keahlian kepada kaum lain yang bersedia mendukung cita-cita dan prinsip perjuangan parti itu tanpa mengira etnik dan keturunan.

Lee Chin Cheh berkata, pembukaan keahlian kepada semua kaum itu bagi menyatukan lapisan masyarakat untuk negara yang lebih baik.

“Pemimpin kita sudah membuat penilaian dan mencapai kesepakatan bahawa parti yang mampu menampung idealisme dan cita-cita kita ialah Perikatan Nasional secara amnya dan PPBM secara khususnya. Namun, kita perlu mempunyai gagasan dan wawasan apa dan bagaimana sifat PPBM yang akan mampu menerajui Malaysia untuk puluhan tahun akan datang.

“Pertama sekali kita menyeru perdana menteri selaku presiden PPBM untuk membuka keahlian, iaitu anggota biasa, kepada semua rakyat Malaysia yang bersedia mendokong cita-cita dan prinsip perjuangan PPBM tanpa mengira etnik dan keturunan.

“Kita perlu PPBM yang merangkumi semua segmen rakyat. Kita perlu PPBM yang memenuhi cita-cita rakyat Malaysia untuk mencapai perpaduan lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat, memelihara 1 cara hidup demokratik, mencipta 1 masyarakat adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, membentuk 1 sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai corak dan membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden,” katanya ketika berucap sebagai wakil masyarakat Cina di Kongres Negara bertema “Bersatu untuk Malaysia” hari ini.

Beliau berkata, melakukan penghijrahan itu bukan sesuatu yang mudah kerana ia menuntut pengorbanan dan kesungguhan.

“Demi membina negara, kita tidak boleh hanya bergerak dalam pertubuhan masyarakat sivil. Kita perlu ada wadah politik untuk bersama memimpin dan mencorak masa depan Malaysia,” katanya.

Katanya, seperti objektif masyarakat Malaysia yang digariskan dalam Rukun Negara, PPBM perlu bersifat terbuka dan menyantuni setiap rakyat sebagai warganegara yang bersama menjunjung Malaysia sebagai tempat tumpah darah tercinta.

Katanya, PPBM sudah tentu perlu melakukan usaha terbaik dan bersungguh untuk mewujudkan perpaduan mantap dalam semua lapisan masyarakat.

“Bagi memastikan PPBM untuk Malaysia, kepemimpinan perlu ada keberanian untuk bertindak dengan tegas terhadap mereka yang membawa fahaman melampau, di samping memastikan usaha membasmi kemiskinan mesti disemarakkan semula pada skala lebih besar,” katanya.

Menurutnya, semua pihak mesti memastikan pengenalan sesuatu kaum sebagai miskin dihapuskan sama sekali tanpa perlu menghina etnik tertentu sebagai malas.

“Malaysia sebuah negara makmur dengan sumber dan hasil yang cukup untuk setiap warganegara. Namun, ada dalam kalangan rakyat yang ketinggalan kerana mereka tidak mempunyai akses kepada pendidikan, peluang atau modal.

“Kerana itu kita perlu memperluaskan akses kepada pendidikan dan ilmu secara meluas. Kita perlu melengkapkan rakyat dari segenap lapisan dengan kemahiran yang akan mengangkat taraf hidup mereka. Kita perlu memanfaatkan sains dan teknologi untuk membina masyarakat yang progresif dan berdaya maju,” katanya.

“Ini yang menjadi intipati perjuangan kita demi Malaysia. Kita tidak boleh lagi menghabiskan masa yang terlalu berharga untuk terus-terusan berbahas dan bercakaran tentang siapa sepatutnya menjadi perdana menteri. Wakil rakyat telah menyatakan dan menentukan dengan jelas siapa yang menjadi pilihan rakyat sebagai perdana menteri,” katanya.