Langgar kuarantin, Khairuddin enggan ulas siasatan polis

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali (tiga dari kiri) melancarkam bilik gerakan pilihan raya PAS bagi kawasan Tanjung Keramat di Putatan, hari ini.

PUTATAN: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali enggan mengulas lanjut berhubung siasatan polis terhadapnya kerana melanggar perintah kuarantin kendiri di rumah.

Katanya, beliau kekal dengan kenyataan permohonan maaf sebelum ini, selain menyatakan hasrat untuk memulangkan 4 bulan gajinya sebagai menteri.

“Kenyataan saya kekal seperti yang dikeluarkan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan kenyataan rasmi saya secara bertulis, sila rujuk kenyataan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan bilik gerakan pilihan raya PAS bagi kawasan Tanjung Keramat, di sini, hari ini.

Khairuddin sepatutnya menjalani kuarantin di rumah selepas kembali dari Turki pada 7 Julai, tetapi sebaliknya menghadiri beberapa acara, termasuk sidang Parlimen pada 13 Julai.

Terdahulu semalam, ahli Parlimen Kuala Nerus itu akur dengan kesilapannya melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

Permohonan maaf itu dibuat selepas KKM mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Khairuddin kerana kesalahan itu.

“Saya dengan ini memohon jutaan kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan yang berlaku.

“Sebagai menteri, saya bertanggungjawab untuk akur kepada peraturan dan SOP sepanjang tempoh PKPP.

“Sebagai menzahirkan rasa bertanggungjawab itu, saya juga dengan ini akan memulangkan semua gaji saya sebagai menteri untuk Mei hingga Ogos 2020 sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 kerana kesalahan itu, kes berkenaan masih disiasat polis.

Dalam ciapan balas beliau terhadap pengguna Twitter, Noor Hisham berkata, RM1,000 adalah denda maksimum kerana melanggar perintah kuarantin di rumah.

“Pun begitu PDRM sedang menjalankan siasatan susulan laporan polis,” katanya di Twitter,

Dalam perkembangan lain, Khairuddin yang juga ahli Jawatankuasa Pusat PAS berkata, parti itu telah mengenal pasti kerusi yang akan ditandingi pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan datang, tetapi memberitahu bahawa ia masih dalam peringkat perbincangan dengan rakan parti dalam Muafakat Nasional (MN) dan juga Perikatan Nasional (PN).

“Jumlah kerusi yang dikena lpasti tak payah bagi tahulah, nanti menjejaskan strategi kami,” katanya.