Pemilihan Ronald Kiandee bukti PPBM iktiraf Bumiputera bukan Islam

Ketua Penerangan PPBM Sabah Khairul Firdaus Akhbar berkata pemilihan Ronald Kiandee berasal daripada rumpun kaum Kadazandusun Murut (KDM) adalah citra inklusiviti dan keterangkuman perjuangan PPBM sebagai platform untuk semua bangsa peribumi dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

KOTA KINABALU: Pemilihan Ronald Kiandee sebagai antara 3 naib presiden PPBM membuktikan keterbukaan dan pengiktirafan tinggi ahli akar umbi parti itu terhadap Bumiputera bukan Islam, kata Ketua Penerangan PPBM Sabah Khairul Firdaus Akhbar.

Beliau berkata, keputusan itu bukti jelas komitmen menjadikan parti itu sebagai wadah seluruh bangsa peribumi tanpa mengira latar belakang kumpulan etnik, pegangan agama atau faktor wilayah.

Katanya, pemilihan Kiandee yang juga menteri pertanian dan industri makanan berasal daripada rumpun kaum Kadazandusun Murut (KDM) adalah citra inklusiviti dan keterangkuman perjuangan PPBM sebagai platform untuk semua bangsa peribumi dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Ini dapat dilihat melalui keputusan bagi pemilihan jawatan ke-3 tertinggi dalam parti iaitu naib presiden.

“Beliau (Kiandee) ketua PPBM Beluran memperoleh undian tertinggi iaitu sebanyak 84%,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua lagi dipilih sebagai naib presiden parti bagi penggal 2019 hingga 2022 ialah Menteri Pendidikan Radzi Jidin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Mohd Rafiq Naizamohideen.