4,151 bankrap dari Jan hingga Julai, kata Takiyuddin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hasan berkata, daripada 4,151 dilaporkan bankrap dari Januari hingga Julai lalu, 3,043 adalah lelaki dan 1,103 perempuan manakala 5 tidak pasti. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat diberitahu sebanyak 4,151 kes bankrap direkodkan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) sejak Januari hingga Julai lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hasan berkata, daripada jumlah itu 3,043 adalah lelaki dan 1,103 perempuan manakala 5 tidak pasti.

Takiyuddin berkata, bagi 2019 jumlah yang bankrap adalah 12,051.

“Daripada jumlah itu 8,923 lelaki dan 3,128 perempuan,” katanya ketika ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2020 hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang meminta kerajaan menyatakan mereka yang bankrap mengikut bangsa dan jantina.

Mengulas pecahan mengikut jantina bagi 2 tahun terkini, Takiyuddin berkata bagi 2019 daripada 12,051 keseluruhan yang bankrap, Melayu 7,081, Cina (2,829), India (1,039) dan lain-lain bangsa (1,002).

“Pada 2020 hingga Julai, daripada jumlah 4,151, Melayu (2,312), Cina (1,028), India (307) dan lain-lain bangsa (490) orang,” katanya sambil memaklumkan pada 2020 sehingga Julai, seramai 14 individu bukan warganegara turut dikategorikan sebagai bankrap.

Beliau turut memberi pecahan mereka yang bankrap mengikut kaum dalam tempoh 5 tahun bermula 2016 hingga 2020, yang mana Melayu berjumlah 40,010, Cina (17,626), India (7,453) dan lain-lain bangsa (5,396).

Mengulas pertanyaan Wan Hassan sama ada kerajaan bersetuju mengurangkan jumlah keberhutangan, Takiyuddin berkata ia bergantung kepada rundingan antara pihak MdI dengan pihak berkepentingan.

“Ia juga bergantung kepada keperluan selepas berunding dengan menteri kewangan,” katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan RUU itu bagi meminda nilai ambang hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan.

Pindaan itu membolehkan nilai ambang berkenaan dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000, sekali gus menjadikannya lebih responsif dan komprehensif terhadap keperluan serta isu semasa berkaitan insolvensi.