Kerajaan mahu daftar hampir sejuta penjaja ‘tiada rekod’

KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu membantu mendaftarkan hampir sejuta penjaja yang tiada rekod pendaftaran dengan mana-mana agensi, memandangkan mereka terkesan teruk dengan pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Wan Junaidi Tuanku Jaffar, berkata, golongan penjaja seperti itu tidak mendapat pembelaan sewajarnya ketika krisis itu, sekadar memperoleh sumbangan peribadi.

“Perniagaan mereka tiada pembiayaan oleh kerajaan, jadi saya sudah mengarahkan kementerian untuk membuat kajian berapa jumlah penjaja ini di seluruh negara,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjelaskan kementerian sedang mendapatkan data berkaitan daripada Bank Negara dan daripada suatu bancian yang akan dilaksanakan.

“Dalam masa 3 bulan akan datang, maklumat terperinci bakal diperoleh mengikut negeri,” katanya, menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson), mengenai keperluan menyelaraskan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan bagi membela nasib penjaja.

Wan Junaidi berkata, secara keseluruhannya, hampir 80% penjaja golongan Bumiputera.

“Manakala selebihnya, iaitu 20%, adalah Cina dan India,” katanya.