
PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilaporkan akan secara rasmi melancarkan Perikatan Nasional di Kota Kinabalu, Sabah, pada Sabtu ketika negeri itu bersiap sedia untuk pilihan raya pada 26 Sept.
Akhbar Singapura, The Straits Times, memetik sumber berkata penyertaan rasmi bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, ke dalam PPBM minggu lepas merupakan langkah terakhir dalam rancangan Muhyiddin melancarkan gabungan itu.
Seorang pemimpin PPBM, yang tidak dinamakan, beritahu ST bahawa PN dianggotai 6 parti komponen, dan ia akan menggunakan lambang tersendiri pada Pilihan Raya Negeri Sabah.
Mengenai Umno, sumber ST itu berkata terserah kepada parti Melayu itu jika mahu guna lambang PN.
Media melaporkan 3 parti dalam jawatankuasa pendaftaran PN iaitu PPBM, PAS, dan MIC. ST pula melaporkan PBS dan PBRS akan menyertai gabungan itu, yang mahu mengambil alih kerajaan Sabah daripada Warisan.
Sumber dalam PN beritahu ST bahawa rundingan setakat ini bersetuju 113 kerusi di kawasan majoriti Melayu milik PN akan ditandingi penyandang masing-masing, namun pertukaran kerusi boleh dibincangkan.
“Umno boleh tuntut kerusi yang dimenangi kumpulan Dr Mahathir Mohamad,” kata pemimpin PN itu. “Tetapi apabila PPBM menjadi parti berbilang kaum, Umno tidak mudah menuntut kerusi campuran kerana secara tradisinya ia diserahkan kepada sekutu dalam BN.”
ST juga melaporkan ahli Parlimen yang menyokong Azmin sedang menggiatkan usaha menarik lebih ramai ahli Parlimen PH ke dalam PN, memandangkan PPBM akan membuka pintu kepada bukan Bumiputera untuk menjadi ahli bersekutu.
Muhyiddin baru-baru ini berkata PPBM akan meminda perlembagaannya bagi membolehkan orang bukan Bumiputera memegang jawatan pemimpin dalam parti.