P Pinang saran kerajaan wujudkan Mahkamah Keluarga

Sebanyak 80% aduan berkaitan keganasan rumahtangga yang diterima sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) baru-baru ini melibatkan wanita.

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang mencadangkan kerajaan pusat mewujudkan Mahkamah Keluarga khusus bagi mengendalikan kes kekeluargaan secara lebih menyeluruh.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam negeri Chong Eng berkata, walaupun negara mempunyai Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, kewujudan Mahkamah Keluarga dilihat mampu mempercepat proses kes penderaan domestik yang melibatkan wanita serta kanak-kanak.

“Kalau boleh kita mohon kerajaan supaya wujudkan mahkamah tersebut tahun depan kerana kita mahu institusi kekeluargaan ini disokong oleh perundangan yang mampu membela mangsa secara keseluruhannya,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, Mahkamah Sivil sememangnya mempunyai seksyen khas untuk (tuntutan) penceraian dan sebagainya namun jika melibatkan kes keganasan rumah tangga, perkara itu disifatkan agak rumit kerana melibatkan dinamik keluarga.

“Atas sebab itu, perlu ada 1 badan perundangan yang akan membuat pertimbangan dalam memutuskan sebarang keputusan,” katanya.

Terdahulu, Chong turut menyampaikan ‘mock cheque’ bernilai antara RM10,000 dan RM20,000 kepada 4 badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Women’s Centre for Change (WCC), Persatuan Kebajikan Sheham Malaysia, Young Women’s Christian Association (YWCA) dan Home Dynamics Berhad bagi membantu mangsa keganasan domestik yang memerlukan.

Pengarah Program WCC Karen Lai Yu Lee yang hadir pada sidang media itu berkata menurut data WCC, sebanyak 80% aduan berkaitan keganasan rumahtangga yang diterima sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) baru-baru ini melibatkan wanita.

Beliau berkata, sejak Januari hingga Jun tahun ini, WCC menerima panggilan daripada kira-kira 600 pengadu yang kebanyakan terdiri daripada wanita berusia lingkungan 30 hingga 39 tahun, yang menjadi mangsa keganasan rumahtangga.

“Sistem sokongan sedia ada untuk melindungi wanita dan anak-anak daripada menjadi mangsa keganasan rumahtangga wajar diperluas dengan penglibatan NGO, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Atas dasar itu, pihak WCC akan melakukan sedaya yang mampu bagi membela nasib mangsa keganasan rumah tangga.

“Kami turut mengadakan latihan untuk pegawai penyiasat dan jurubahasa mahkamah khususnya untuk kes keganasan seksual kanak-kanak selain memberikan bantuan kaunseling kepada mangsa,” katanya.