PBS yakin menang di DUN Paginatan, harap STAR beri laluan

Parti Bersatu Sabah (PBS) akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) berharap STAR akan memberi peluang kepada parti itu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan di Ranau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua PBS Paginatan Othman Minuddin berkata, majlis tertinggi parti itu sudah membuat keputusan untuk memasukkan kawasan berkenaan dalam senarai kerusi akan ditandingi pada PRN nanti.

“Susulan keputusan dibuat pada 8 Ogos itu juga, PBS Paginatan mengadakan mesyuarat bagi membentuk jentera pilihan raya di kawasan itu.

“PBS mengambil maklum yang STAR juga berhasrat bertanding di Paginatan namun saya harap mereka akan memberi peluang kepada PBS kerana saya yakin dengan kerjasama erat STAR, ia akan memberi kelebihan kepada calon daripada PBS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dipercayai dibuat susulan kemasukan penyandang kerusi Paginatan, Abidin Madingkir ke STAR, baru-baru ini.

Abidin sebelum ini merupakan naib presiden UPKO namun bertindak keluar parti untuk menyokong Musa Aman sebagai ketua menteri hujung bulan lalu.

Bagaimanapun, usaha mereka mengambil alih kerajaan pimpinan Shafie Apdal gagal apabila beliau mengumumkan pembubaran DUN selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin.

Othman Minuddin

Othman berkata, STAR sebelum ini sudah 2 kali bertanding di Paginatan dan adalah rasional jika memberi laluan pula kepada PBS untuk bertanding di situ.

“PBS Paginatan yakin jika kerjasama politik dapat dibentuk dengan STAR, maka kami juga boleh membantu calon STAR di kawasan yang tidak ditandingi PBS nanti,” katanya.

Beliau turut mengimbas sejarah parti itu yang mula bertanding di semua kerusi dalam Parlimen Ranau sejak 1985.

“Bagaimanapun, selepas PBS menyertai BN pada 2002, maka pada PRU12, parti ini mengambil keputusan untuk tidak bertanding lagi di kawasan itu bagi memberi laluan kepada rakan komponen ketika itu, iaitu Upko.

“Kini Upko bukan lagi rakan politik PBS dan oleh itu, sudah tiba masanya kami bertanding semula di Paginatan untuk menentang Upko yang dijangka ingin mengekalkan kedudukan mereka di situ,” katanya.

Othman berkata, selepas mengadakan program jelajah memasuki seluruh pelusuk kampung di Paginatan sebelum ini, maklum balas diterima sangat positif dan kebanyakan penduduk ditemui mahu PBS bertanding di situ.

“PBS Paginatan mempunyai 73 cawangan dengan kekuatan ahli seramai 7,000 dengan banyak lagi permohonan kini sedang diproses.

“Setiap tahun, PBS Paginatan berjaya mengadakan mesyuarat agung tahunan dan hampir setap hari kami menerima permohonan baru dan sebab itu kami yakin PBS akan menang di kawasan itu,” katanya lagi.