Penyelidik Hong Kong lapor kes pertama jangkitan semula Covid-19

Penduduk yang memakai pelitup muka untuk melindungi diri daripada Covid-19, mengambil gambar di Victoria Harbour. (Gambar AP)

HONG KONG: Seorang lelaki yang pulih daripada Covid-19 dijangkiti sekali lagi selepas lebih 4 bulan sembuh, menurut penyelidik di Universiti Hong Kong pada Isnin.

Penemuan berkenaan menunjukkan wabak itu, yang kini mengorbankan lebih 800,000 orang di seluruh dunia, mungkin terus merebak dalam kalangan populasi global walaupun terdapat imuniti kawalan, kata mereka.

Lelaki berusia 33 tahun itu bebas Covid-19 dan keluar dari hospital pada April, namun disahkan positif sekali lagi selepas pulang dari Sepanyol pada 15 Ogos.

Pesakit itu sebelum ini dilihat sihat, kata penyelidik menerusi kertas kajian, yang diterima oleh jurnal perubatan antarabangsa Penyakit Berjangkit Klinikal.

Dia didapati menghidap strain koronavirus yang berbeza daripada sebelum ini dijangkiti dan kekal asimptomatik (tidak menunjukkan simptom) untuk jangkitan kali ke-2 itu.

Penemuan itu tidak bermaksud pengambilan vaksin tidak berfungsi, lapor salah seorang pengarang utama bagi kajian itu, Dr Kai-Wang To kepada Reuters.

“Imuniti disebabkan vaksin boleh berbeza daripada pesakit yang disebabkan jangkitan semulajadi,” kata To.

“Kita perlu menunggu keputusan percubaan vaksin untuk melihat sejauh mana keberkesanan vaksin.”

Dalam pada itu, seorang ahli epidemiologi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Maria Van Kerkhove berkata tidak perlu terlalu cepat membuat kesimpulan sebagai respons kepada kes Hong Kong itu.

Kes bagi mereka yang discaj dari hospital dan dijangkiti semula Covid-19 sudah dilaporkan di tanah besar China.

Namun, kes terbabit tidak jelas sama ada mereka dijangkiti virus sekali lagi sebaik sahaja pulih sepenuhnya -seperti yang berlaku kepada pesakit Hong Kong itu- atau masih mempunyai virus di dalam badan mereka yang menjangkiti pada jangkitan pertama.