6 kes baru Covid-19

PETALING JAYA: Sebanyak 6 kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 7 pesakit sembuh hari ini.

Jumlah kematian kekal 125 orang kerana tiada kematian dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 9 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 6 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Setakat ini, Malaysia melaporkan 9,291 kes Covid-19 dengan 8,978 daripadanya sudah sembuh.

Ketika ini, 188 pesakit Covid-19 sedang dirawat di seluruh negara.

Hisham berkata, daripada 6 kes dilaporkan hari ini, 1 adalah kes import yang mendapat jangkitan dari Singapura membabitkan bukan warganegara.

“Manakala 5 kes lagi adalah penularan tempatan dalam kalangan warga negara di Kedah membabitkan 3 daripada kluster Tawar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dengan penambahan 3 kes itu, Hisham berkata, kluster Tawar mencatatkan 73 kes hingga tengah hari tadi dengan seramai 4,051 individu disaring.