81 ditahan ingkar PKPP, 22 direman

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata polis bersama petugas Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan SOP dipatuhi.

PETALING JAYA: Polis menahan 81 individu atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 59 individu dikompaun manakala 22 direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk pelanggan (31), tidak memakai pelitup muka (16), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (24), premis beroperasi lebih masa (4), serta tangkapan pendatang asing tanpa izin (6),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, mengenai Operasi Benteng di seluruh negara Ismail berkata, menerusi 62 sekatan jalan raya dan pemeriksaan terhadap 28,481 kenderaan, polis menahan 4 warga asing atas kesalahan imigresen.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata menerusi 298 pemeriksaan terhadap individu yang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing, semua individu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Polis bersama petugas Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi,” katanya.