Bermula dari minat, pelajar kolej berjaya jana pendapatan lumayan melalui kandungan digital

Sterk Production meraih lebih 1 juta pengikut di media sosial.

PETALING JAYA: Enam tahun lalu, pelajar kolej Mohamad Harith Saifuzzaman dan 5 rakannya memutuskan untuk menghasilkan video lucu dan hiburan seperti idola YouTuber mereka, Smosh dan Ryan Higa.

Mereka bermula dengan sketsa komedi 1 minit dan hari ini, 6 rakan itu memiliki syarikat pencipta kandungan mereka sendiri, menjadikan minat mereka kini boleh menjana pendapatan lumayan.

Syarikat mereka, Sterk Production memiliki lebih 1 juta pelanggan dan pengikut di media sosial serta mampu menyenaraikan jenama besar seperti Toyota, Nescafe, Dominos dan Digi antara klien.

“Pada mulanya, kami buat untuk suka-suka saja sebab ketika itu kami pelajar universiti, kami mula dapat ramai pengikut dan masuk tahun ke-4, kami tubuhkan jenama sendiri, Sterk,” kata Harith yang juga seorang penyanyi.

“Kami ada lebih 100,000 pengikut di Instagram dan jenama ini mula mendekati kami,” katanya.

Harith berkata, ketika itu mereka masih belajar dan melakukan penggambaran kandungan pada hujung minggu dengan pendapatan mereka pernah mencecah RM10,000 setiap video.

Harith Zazman berkata Sterk Production sedang melihat potensi untuk mengembangkan lagi syarikat itu.

Harith, yang popular menerusi lagu ‘Cute’ (kini meraih lebih 8.5 juta tontonan sejak ia dimuatnaik di YouTube 2 bulan lalu) berkata, Sterk Production menunjukkan prestasi baik sehingga mereka dapat menggaji 2 orang penyunting video dan mempunyai 2 pelajar praktikal.

Katanya, syarikat itu bercadang untuk mengambil lebih ramai pekerja, malah merancang membuat penggambaran rancangan dan filem.

“Saya suka pekerjaan ini sebab saya suka dengan apa yang saya buat, perasaan paling ‘best’ yang anda akan dapat bila orang suka dan hargai kandungan anda,” kata Harith yang lebih dikenali sebagai Harith Zazman.

Sementara itu, bagi seorang pencipta kandungan muda, Eswar Mohan turut mula menempa nama dalam dunia digital.

Beliau merupakan pencipta lensa Snapchat rasmi pertama di Asia Tenggara, yang menghasilkan lensa untuk aplikasi Snapchat dengan mengubah gambar atau animasi menerusi pengalaman realiti terimbuh (AR).

Eswar mula berkecimpung dalam industri itu ketika mengambil bahagian dalam pertandingan AR pada tahun akhir di universiti yang mana pasukannya ditugaskan membuat aplikasi mudah membolehkan pengguna mengenakan pakaian secara maya.

Mereka menduduki tempat ke-2 dan kumpulan itu berpisah tidak lama selepas itu.

Namun, rakannya Renuga Nair, memberi galakan kepada beliau untuk terus mengejar minatnya, dengan mempercayai yang industri AR mempunyai masa depan.

Eswar Mohan merupakan pencipta lensa Snapchat pertama di Asia Tenggara.

“Kami buat sedikit penyelidikan dan terhasilah Snap’s Lens Studio. Itulah bagaimana kami akhirnya hasilkan Lensa Snapchat,” kata pelajar lulusan kejuruteraan Mekatronik itu.

Eswar berkata, setiap hari mereka akan duduk bersama selepas kelas untuk menghasilkan Lensa AR.

Katanya, kebiasaanya ia mengambil masa selama seminggu untuk siap, namun, kini boleh diselesaikan dalam masa 2 hingga 3 jam sahaja.

“Renu akan datang dengan idea, dan saya pula, sebagai orang teknikal, akan cuba menciptakan pengalaman itu.”

Mereka mula menubuhkan syarikat, ExAR pada 2018 ketika tahun akhir di Universiti Teknologi Malaysia.

Dalam pada itu, Eswar juga berganding bahu dengan adiknya Arun – yang kini belajar di Universiti Sultan Zainal Abidin dalam bidang reka bentuk industri – sebagai ketua animasi.

Nasib berpihak kepada mereka apabila pada akhir 2019, AR menjadi suatu trend.

“Segala usaha kami sebelum ini membolehkan kami untuk mulakan termasuk lensa kami sebagai alat pemasaran untuk jenama. Kami akan menghantar emel kepada jenama dan agensi pemasaran yang mencadangkan jika mereka mahu mempertimbangkan untuk memasukkan elemen AR dalam kempen mereka akan datang.”

Oleh kerana mereka mempunyai akaun rasmi di Snapchat, hampir semua lensa mereka mudah ditemui dan digunakan berjuta pengguna seluruh dunia, dengan lensa yang paling popular seperti lensa Durian dan Ketupat, kini mendapat lebih dari 5 juta tontotan.

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), yang baru-baru ini melancarkan gerakan #SayaDigital, berkata mereka mahu mengurangkan impak disebabkan oleh Covid-19 yang mengancam kehidupan.

“Kami boleh memperkasakan generasi muda untuk menceburi teknologi digital dan meningkatkan kreativiti sambil menjana wang melalui ciptaan mereka. Ini akan berfungsi sebagai 1 bentuk kehidupan lestari yang memenuhi aspirasi MDEC untuk mempercepatkan pertumbuhan masyarakat digital dan mencapai kesejahteraan bersama untuk semua,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri.

Beliau berkata, inisiatif #YoungCreators akan menyediakan platform bagi mendorong anak muda mempercayai semangat kreatif mereka sendiri dan menempa nama dalam dan luar negara.

Acara maya #YoungCreators yang merupakan sebahagian daripada gerakan #SayaDigital bakal menyaksikan pelancaran platform baru untuk memupuk kemahiran digital kreatif belia di negara ini.

Peserta program yang akan diadakan pada 28 dan 29 Ogos itu bakal menerima manfaat pengetahuan dan pengalaman penggiat berpengaruh, penonjol bakat dan industri gergasi terkemuka.

Untuk jadual penuh acara, senarai speaker dan maklumat tambahan untuk #YoungCreators boleh didapati di www.mdec.my/youngcreators. Untuk maklumat lanjut mengenai pelbagai inisiatif #SayaDigital, sila layari www.mdec.my/sayadigital.