BN tak buat apa-apa selesai isu pajakan 999 tahun, kata Warisan

Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua berkata kerajaan BN sebelum ini tidak komited dalam isu pajakan tanah Sabah. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Warisan membidas Parti Bersatu Sabah (PBS) berhubung isu tempoh pajakan tanah, mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini mempunyai lebih 1 dekad untuk menyelesaikannya tetapi tidak berbuat apa-apa.

Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua berkata, Persatuan Pemaju-pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) meminta kerajaan negeri mengembalikan tempoh pajakan 999 tahun berbanding 99 tahun khususnya berkaitan geran tanah pajakan (CL) dibelah bahagi kepada pemilik dan pembeli rumah.

Beliau berkata, pada awal 2008, 1 rayuan dikemukakan kepada ketua menteri ketika itu berhubung masalah berkenaan susulan pengurangan tempoh pajakan yang melibatkan rumah kedai di Kolombong daripada 999 tahun menjadi 99 tahun.

“Jadi, siapa sebenarnya yang salah? Shareda sudah memohon kepada Musa Aman bagi pihak pemilik tanah pajakan 999 tahun pada 2011 tetapi dia tidak komited terhadap perkara itu,” kata Padua dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden PBS Yee Moh Chai menuduh kerajaan Warisan cuba mengambil kesempatan terhadap isu itu dengan mengatakan kerajaan negeri hanya mematuhi keputusan mahkamah dengan Warisan langsung tidak memainkan sebarang peranan.

“Kerajaan Warisan boleh didakwa menghina mahkamah sekiranya mereka tidak mematuhi keputusan mahkamah untuk memanjangkan tempoh tanah pajakan daripada 99 tahun kepada 999 tahun.

“Seperti biasa, Warisan cuba mengambil kesempatan atas perkara yang sepatutnya menjadi tanggungjawab mereka. Ini taktik murahan, mengelirukan rakyat dan tidak tahu malu,” kata Yee.

Padua berkata, tidak salah bagi kerajaan negeri mengesahkan semula keputusan Mahkamah Tinggi dan menjadikannya 1 dasar negeri.

Beliau berkata, tindakan itu betul kerana terdapat gesaan berulang kali meminta supaya hak tanah pajakan dikembalikan kepada 999 tahun sebelum ini tetapi diketepikan kerajaan terdahulu.

Katanya, kerajaan sebelum ini, dengan PBS sebahagian daripadanya, mempunyai tempoh 14 tahun sejak 2004 untuk memperbaiki kesilapan itu, tetapi tidak pernah berminat melakukannya walaupun terdapat rayuan dikemukakan.

Katanya, berbanding mengkritik Warisan, PBS perlu menjelaskan kepada pemilik tanah pajakan mengapa mereka tidak pernah berusaha mengembalikan perkara sama ketika BN berkuasa.

Menurutnya, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah Bernard Liew minggu lalu mengesahkan tempoh pajakan dikurangkan kepada 99 tahun sekitar 1990-an.

Pada 27 Februari, Mahkamah Tinggi membuat keputusan dengan mengumumkan syarat ditetapkan Jabatan Tanah dan Ukur untuk mengurangkan tempoh pajakan daripada 999 tahun kepada 99 tahun untuk kelulusan pembangunan dan pembahagian adalah menyalahi undang-undang.