Delegasi Israel, pembantu kanan Trump lawat UAE minggu depan

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata pegawai kanan Amerika Syarikat akan mengiringi perwakilan Israel ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Isnin, melalui penerbangan komersial pertama antara 2 negara itu.

Menurut laporan Al-Jazeera, pertemuan peringkat tertinggi itu juga merupakan kali pertama melibatkan 3 pihak berkenaan, sejak Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan perjanjian normalisasi hubungan antara Israel dan UAE yang diusahakan pihak Washington.

Walaupun begitu, perjanjian UAE-Israel itu belum ditandatangani secara rasmi kerana masih menunggu perincian perjanjian seperti pembukaan kedutaan, perdagangan, dan pelancongan.

Perjanjian UAE-Israel, yang masih menunggu perincian kerjasama, dibidas rakyat Palestin sebagai perkhianatan sebuah negara Arab terhadap nasib mereka.

Dalam kenyataan video pada Selasa, Netanyahu berkata penasihat kanan White House dan menantu Trump, Jared Kushner; penasihat keselamatan AS, Robert O’Brien; dan utusan AS ke Asia Barat, Avi Berkowitz akan bertolak ke UAE dengan perwakilan Israel, diketuai penasihat keselamatan Israel, Meir Ben-Shabbat.

Pegawai AS dan Israel akan menaiki pesawat syarikat penerbangan Israel yang berlepas terus dari Tel Aviv ke Abu Dhabi.

Netanyahu berkata perbincangan itu akan menfokuskan cara mempromosi kerjasama Israel-UAE dalam pelbagai bidang seperti penerbangan dan pelancongan, perdagangan, kewangan, kesihatan, tenaga, dan keselamatan.

“Ini merupakan perjanjian bersejarah. Ia akan menjana pertumbuhan… Saya harap negara lain di rantau kami akan menyertai agenda keamanan ini,” katanya.

Terdahulu agensi berita UAE, WAM, dan laman berita Israel, Ynet, pada Selasa melaporkan menteri pertahanan kedua-dua negara – Mohammed Ahmad al Bawardi dan Benny Gantz – bercakap telefon secara terbuka buat kali pertama.

Perjanjian itu bakal menyaksikan UAE merupakan negara Arab ke-3 yang menjalinkan hubungan kerjasama dengan Israel, selepas Mesir dan Jordan.