Dr M: Buka PPBM kepada bukan Bumiputera persediaan kalau Umno 5 tewas di mahkamah

Dr Mahathir Mohamad

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad mendakwa langkah membuka PPBM kepada semua kaum merupakan persediaan parti itu kalau 5 ahli Parlimen Umno tewas di mahkamah.

Bekas pengerusi PPBM itu berkata Perikatan Nasional, gabungan pemerintah pimpinan PPBM dengan sokongan Umno, akan jatuh sekiranya 5 wakil rakyat Umno itu didapati bersalah dan hilang kedudukan wakil rakyat.

“Untuk elak dari ini berlaku, perdana menteri perlu cari ganti,” katanya merujuk kepada Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin.

“Maka PPBM pun gugur kedudukan sebagai parti pribumi dan membuka keahlian kepada semua kaum. Kekalkah nama PPBM,” katanya di blog hari ini.

Mahathir bagaimanapun tidak menamakan 5 ahli Parlimen Umno itu. Dipercayai, berdasarkan semakan di media, beliau merujuk kepada Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Azeez Rahim (Baling), Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya), dan Najib Razak (Pekan).

Muhyiddin di Kongres Negara 2020 mengumumkan PPBM sedia meminda perlembagaan bagi membolehkan ahli bukan Bumiputera memegang jawatan dalam parti itu.

Zahid, juga presiden Umno, menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang; Bung Moktar, merupakan Ketua Umno Sabah, berdepan 3 pertuduhan rasuah; Azeez menghadapi 3 pertuduhan rasuah dan 9 pertuduhan pengubahan wang; Tengku Adnan berdepan 2 pertuduhan rasuah; dan Najib sedang merayu pensabitan bersalah 7 tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan, dan pengubahan wang.