Ibu beranak 2 kembali ke dunia pekerjaan selepas tuntut ilmu percuma

MDEC menawarkan lebih 3,800 kursus dalam talian melalui kerjasama dengan Coursera sehingga akhir tahun ini.

PETALING JAYA: Tidak mudah untuk Darshini Nadarajah kembali ke dunia pekerjaan selepas berhenti selama 5 tahun kerana ibu kepada 2 anak itu mencari pekerjaan sejak 8 bulan lalu.

Darshini, yang meninggalkan kerjaya dalam bidang sumber manusia untuk memberi tumpuan terhadap keluarganya, mula mencari pekerjaan sejak Disember lalu, tetapi sering berdepan penolakan.

Wanita berusia 39 tahun itu membantu suaminya dengan syarikat pengurusan acara, tetapi perniagaannya teruk terjejas sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan dan keinginan Darshini mencari pekerjaan menjadi satu keperluan.

Ketika mencari pekerjaan di LinkedIn, beliau menemui iklan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menawarkan kursus dalam talian secara percuma.

Darshini Nadarajah berjaya mendapat satu kontrak gig dengan kemahiran barunya.

“Bagi seseorang seperti saya yang meninggalkan dunia pekerjaan, sukar untuk bersaing dengan graduan atau individu baru diberhentikan yang mempunyai kemahiran relevan dengan pasaran.

“Saya tahu saya perlu mempelajari kemahiran baru, jadi saya mendaftarkan diri,” katanya merujuk kursus percuma ditawarkan MDEC melalui kerjasama dengan Coursera sebagai sebahagian inisiatif #MyDigitalWorkforce.

Lebih 3,800 kursus dalam talian, daripada sains data sehingga keselamatan siber ditawarkan sehingga akhir tahun ini.

Sejak itu, Darshini menamatkan 4 kursus dan ketika mencari pekerjaan sepenuh masa, beliau mendapat satu kontrak gig dengan sebuah syarikat perisian, di mana kemahiran yang baru dikuasainya akan terbukti berguna untuknya.

“Pada masa sama, saya turut menggunakan kemahiran baru saya dalam pemasaran digital untuk menambah baik perniagaan pengurusan acara suami saya,” katanya sambil menambah kursus percuma itu berguna kepada sesiapa saja tanpa mengira latar belakang pendidikan atau pengalaman mereka.

Graduan sarjana dalam sains komputer, Fatini Nadhirah turut mendapat manfaat daripada kursus itu.

Anak jati Pulau Pinang berusia 24 tahun itu berkata, ia sukar mempercayai kerana kursus berkaitan bidang yang dipelajarinya itu sering dikenakan bayaran dalam dolar Amerika Syarikat yang mencecah ribuan ringgit.

Beliau bersyukur ia adalah benar dan menamatkan 21 kursus dalam bidang sains data dan pembelajaran mesin.

Fatini Nadhirah berkata, kursus dalam talian menawarkan peluang kepada semua untuk menuntut ilmu dan memperbaiki diri.

Fatini, yang mengalami masalah fizikal, tetapi tidak menjadikannya penghalang dalam pembelajaran, berkata kursus itu menyediakan peluang kepada semua untuk menuntut ilmu dan memperbaiki diri.

“Ia memanfaatkan saya dari segi pengetahuan dan sangat membantu dengan pengajian sarjana saya,” katanya sambil menambah terdapat kursus untuk semua tahap, jadi orang baru boleh mengikuti pembelajaran dengan mudah.

“Ia berbaloi kerana individu yang mengajar dan menyediakan bahan pembelajaran datang daripada syarikat besar seperti Google dan Amazon.”

Tan Jia Er, 26, dari Selangor berharap kursus dalam talian itu akan membantu beliau mendapat pekerjaan selepas menamatkan pengajian sarjana dalam bidang ekonomi kesihatan.

Beliau mengikuti kursus dalam pengoptimuman enjin carian (SEO) serta komunikasi pemasaran bersepadu, yang menurutnya penting untuk perniagaan kekal relevan.

Tan Jia Er menyifatkan kursus percuma itu mudah, menyeronokkan dan berpengetahuan.

“Kursus itu sangat mendalam dan ia memberi saya tugasan yang membina kemahiran teknikal. Ia amat bermanfaat untuk mereka yang mahu belajar dari awal,” katanya sambil menambah beliau bersyukur kursus yang biasanya berharga ratusan hingga ribuan ringgit itu ditawarkan secara percuma.

“Saya sangat gembira dapat belajar secara percuma. Saya menasihatkan rakyat mencubanya tanpa mengira mereka mahu mempelajari kemahiran baru, melakukannya secara suka-suka atau menimba ilmu.

“Ia mudah, menyeronokkan dan berpengetahuan, rebutlah peluang ini kerana ia adalah percuma.”

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata inisiatif di bawah gerakan #SayaDigital bermula 21 hingga 30 Ogos seperti Minggu #MyDigitalWorkforce memfokuskan memupuk bakat dalam kemahiran digital, meningkatkan kemampuan semua rakyat Malaysia supaya kemampuan ini boleh menjadi sumber pendapatan dan pekerjaan digital dipadankan dengan bakat yang betul.

MDEC sedang menganjurkan Minggu #MyDigitalWorkForce bersama i-LEAD, Impact Malaysia, TalentCorp, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Belia dan Sukan.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri

Minggu #MyDigitalWorkforce ialah acara dalam talian yang memaparkan satu siri seminar dalam talian mengenai permintaan pekerjaan digital, kesedaran kerjaya, peluang mempelajari kemahiran baru dan padanan pekerjaan untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja Malaysia bagi pekerjaan ekonomi digital.

“Dalam kerjasama dengan rakan kongsi latihan dan teknologi, kursus latihan percuma bernilai RM1 juta akan ditawarkan di acara satelit yang diadakan sempena Minggu #MyDigitalWorkforce,” kata Surina.

Untuk maklumat lanjut, layari https://mydigitalworkforceweek.my. Untuk pelbagai inisiatif #SayaDigital, layari www.mdec.my/sayadigital.