Inkues Nora Anne: Saksi beritahu operasi kesan pakaian dalam mangsa dijalankan

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lalu sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama 2 minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai Negeri Sembilan.

Seremban: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu sehari selepas mayat Nora Anne Quoirin ditemui pada 13 Ogos tahun lalu, polis masih meneruskan operasi di lokasi kejadian bagi mengesan pakaian dalam milik mangsa.

Saksi ke-3 prosiding inkues bagi menentukan punca kematian remaja Ireland-Perancis itu, Ketua Polis Nilai Mohd Nor Marzukee Besar berkata operasi diadakan pada 14 Ogos, berikutan penemuan mayat remaja berkenaan yang dalam keadaan tidak berpakaian di lokasi laluan air, di ladang kelapa sawit terletak berhampiran resort penginapannya.

“Selepas saya balik dari Hospital Tuanku Ja’afar pada malam 13 Ogos, saya buat mesyuarat, bersama pasukan pencarian saya disebabkan pegawai penyiasat saya ada memaklumkan bahawa keluarga mangsa ada beritahu mangsa kali terakhir berpakaian seluar dalam.

“Semasa saya jumpa mayat tersebut dan telah dikenal pasti adalah orang hilang, menjadi persoalan dalam fikiran saya di manakah seluar dalam mangsa sebab saya jumpa (mangsa) dalam keadaan tidak berpakaian. Maka saya merancang 1 operasi mencari pakaian dalam mangsa pada keesokan harinya,” katanya ketika memberi keterangan pada prosiding inkues memasuki hari ke-3 hari ini.

Ditanya timbalan pendakwa raya Muhamad Iskandar Ahmad adakah subjek yang dicari ditemui, saksi yang merupakan komandan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketika itu berkata ia tidak ditemui walaupun sudah menggerakkan seramai 361 anggota untuk tujuan tersebut.

“Tumpuan bermula dari kawasan The Dusun sehingga mayat mangsa ditemui. Hasilnya tidak menjumpai pakaian dalam,” katanya memberitahu operasi itu hanya dijalankan selama sehari bermula 8.30 pagi, 14 Ogos tahun lalu.

Marzukee setakat ini menjadi saksi paling lama memberi keterangan mulai semalam pada prosiding berkenaan yang berlangsung di hadapan koroner Maimoonah Aid.

Prosiding inkues dijadual berlangsung selama 2 minggu bermula 24 hingga 28 Ogos dan bersambung semula pada 1 hingga 4 September ini.

Seramai 64 saksi dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lalu sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama 2 minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di kira-kira 60km di selatan ibu negara.

Mayatnya ditemui pada 13 Ogos, berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5km dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang merupakan golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Prosiding inkues bersambung esok.