Jangan sibuk jaga tepi kain orang, ahli Pejuang bidas Rais Yatim

Bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM Tariq Ismail berkata PPBM bukan lagi parti memperjuangkan orang Melayu tetapi menjadi parti yang sanggup bersekongkol dengan sesiapa sahaja bagi memenuhi kepentingan mereka.

PETALING JAYA: Seorang bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM hari ini menempelak Rais Yatim yang mendakwa parti baharu Dr Mahathir Mohamad, Pejuang tidak akan kekal selepas ketiadaan bekas perdana menteri itu.

Sekutu Mahathir, Tariq Ismail berkata Rais sepatutnya lebih menjaga partinya sendiri yang didakwa terpesong daripada prinsip dan perjuangan asal.

Beliau berkata, PPBM bukan lagi sebuah parti memperjuangkan orang Melayu tetapi menjadi parti yang sanggup bersekongkol dengan sesiapa sahaja bagi memenuhi kepentingan mereka.

“Sebagai seorang pengamal undang-undang dan ahli politik veteran, dia sepatutnya tahu sebuah parti perlu mengikut perlembagaan atau ia akan menjadi tidak relevan tanpa hala tuju jelas.

“Dia tidak perlu sibuk jaga tepi kain Pejuang. Kita tahu apa kita buat dan kami pasti tidak memerlukan mereka yang melacurkan diri dan buat apa sahaja demi jawatan,” katanya kepada FMT.

Beliau turut mengalu-alukan langkah PPBM membuka keahlian parti itu kepada bukan Melayu namun mendedahkan cadangan sama dikemukakan pihak lain sebelum ini tetapi dibangkang.

“Saya masih ingat, pada mesyuarat agung luar biasa sebelum ini, mereka pada awalnya mahu suara bukan Melayu dalam parti dipanggil liberal oleh kumpulan bersayap kanan,” katanya.

Rais yang juga ketua PPBM Negeri Sembilan, menerusi laporan Utusan Malaysia berkata, Pejuang tidak akan bertahan lama selepas ketiadaan Mahathir.

Beliau turut berkata anak Mahathir, Mukhriz dijangka tidak meneruskan legasi bapanya susulan kegagalan pentadbiran kerajaan Kedah diterajuinya.