Kementerian Azmin, Zuraida masa PH turut tersenarai projek runding terus

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini sejumlah 101 projek atau perolehan bernilai RM6.61 bilion diluluskan secara rundingan terus. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) merekodkan jumlah paling tinggi bagi kelulusan projek secara runding terus dengan 13 projek.

Dalam senarai dikepilkan dalam kenyataan media Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, beliau memaklumkan projek diluluskan kementerian itu membabitkan nilai RM5.67 juta diikuti Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan 12 projek dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (9 projek).

Turut tersenarai adalah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang menterinya ketika itu, Mohamed Azmin Ali semasa persidangan Dewan Rakyat pada 24 Ogos lalu memberitahu Kabinet pentadbiran PH tidak pernah dimaklumkan mengenai kelulusan projek secara runding terus.

Kementerian itu meluluskan 4 projek secara runding terus. Azmin, dalam pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah menteri kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bawah pentadbiran Zuraida Kamaruddin yang turut berada dalam kerajaan PH sebelum ini juga tersenarai dengan 2 projek diluluskan.

Dari segi nilai projek, Kementerian Pengangkutan merekodkan jumlah tertinggi dengan RM4.4 bilion diikuti Kementerian Pertahanan (RM900 juta), Kementerian Dalam Negeri (RM517 juta), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (RM380 juta), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (RM170 juta) dan Kementerian Pendidikan (RM87 juta).

Kementerian Kesihatan (RM10 juta), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (RM10.36 juta), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (RM8.4 juta), Kementerian Kewangan (RM9 juta), Jabatan Perdana Menteri (RM8.1 juta), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (RM7.36 juta) dan Kementerian Belia dan Sukan (RM6.4 juta).

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (RM6.1 juta), Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (RM5.67 juta), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (RM1.1 juta), Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (RM0.5 juta), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (RM0.16 juta) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (RM0.096 juta).

Isnin lalu, Tengku Zafrul dalam persidangan Dewan Rakyat memberitahu rekod menunjukkan Kementerian Kewangan ketika diterajui Lim Guan Eng sebelum ini, meluluskan 101 projek berkenaan secara rundingan terus bernilai RM6.61 bilion.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata senarai itu dikeluarkan apabila terdapat permintaan selepas beliau mendedahkan perkara berkenaan dan dibuat selaras mendokong urus tadbir yang baik demi ketelusan pentadbiran.

Katanya, perolehan secara runding terus dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan (MOF) berdasarkan peruntukan sedia ada bawah Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Semakan 1972) dan pekeliling perbendaharaan yang berkaitan.

Beliau berkata, rundingan terus dibenarkan atas dasar proses perolehan yang memenuhi salah 1 atau lebih daripada syarat berikut.

“Perolehan bekalan dan perkhidmatan melibatkan keperluan mendesak yang mana jika perolehan tersebut tidak dilaksanakan dengan segera, ia boleh memudaratkan dan menjejaskan perkhidmatan serta kepentingan negara. Keperluan penyeragaman bagi memastikan kesesuaian penggunaan (compatibility) antara barangan sedia ada dengan barangan baru yang diperoleh.

“Satu punca bekalan atau perkhidmatan iaitu pengeluaran produk atau penyediaan perkhidmatan hanya boleh dibekalkan daripada 1 sumber sahaja. Keselamatan/strategik yang melibatkan perolehan item atau perkhidmatan demi keselamatan atau kepentingan strategik negara, atau kontrak dengan syarikat pembuatan Bumiputera yang memenuhi semua syarat kelayakan.

“Proses ini melibatkan permohonan daripada kementerian lain kepada MOF. Semasa pentadbiran sebelum ini, sejumlah 101 projek atau perolehan yang bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan secara RT oleh MOF,” katanya.