Kementerian belum cadang import benih padi, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Ahmad Hamzah berkata pengimportan benih padi dari luar bukan jaminan penghasilan sama seperti negara asal.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan tidak bercadang mengimport benih padi dari luar negara kerana penghasilan jenis padi tempatan adalah lebih tinggi berbanding benih import, kata Timbalan Menteri Ahmad Hamzah.

Pada masa ini kementerian menghasilkan beberapa padi awal matang yang boleh dituai dalam masa 110 hari dan menghasilkan sehingga 7 hingga 10 tan padi sehektar.

“Benih-benih seperti MR253, MR220, MR303, dan MR307 menjana penghasilan lebih tinggi dan pembelian benih padi dari luar tidak disyorkan buat masa sekarang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) yang mahukan penjelasan adakah kementerian bercadang mengimport benih padi dari negara lebih terkehadapan dalam penghasilan padi seperti Thailand bagi menjamin simpanan beras negara.

Ahmad Hamzah

Menteri berkata faktor jenis tanah dan cuaca di negara lain yang berbeza dengan negara ini juga mempengaruhi jumlah penghasilan padi, justeru pengimportan benih padi dari luar bukan jaminan penghasilan sama seperti negara asal.

Menjawab soalan mengenai status penyelidikan dan pelaksanaan penanaman padi 3 kali setahun serta kesan kepada simpanan beras dan keselamatan makanan negara, Ahmad berkata pelaksanaan penanaman padi 3 kali setahun tidak digalakkan buat masa ini atas beberapa faktor.

Antaranya, menurut hasil kajian dijalankan, ia tidak memberikan peningkatan hasil kepada pesawah malah kos pengeluaran meningkat, serangan penyakit yang sukar kerana penanaman di luar musim sedia ada, dan bebanan kewangan kepada kerajaan kerana pemberian subsidi input dan ouput.

Buat masa ini katanya, penanaman padi negara adalah 3 kali setahun di kawasan jelapang dan sekali setahun di luar jelapang dengan 40% pengeluaran dari kawasan jelapang.