Kerajaan boleh disaman kerana dwistandard laksana undang-undang, kata peguam

Gurdial Singh Nijar berkata, mereka yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan boleh memohon pengisytiharan di mahkamah.

PETALING JAYA: Dua peguam berkata, hak yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan boleh digunakan untuk menyaman kerajaan, jika terbukti ia mengamalkan dwistandard dalam menguatkuasakan peraturan Covid-19.

Peguam Gurdial Singh Nijar berkata, mereka yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan boleh memohon pengisytiharan di mahkamah.

“Bagaimanapun, pengisytiharan (sedemikian) bergantung kepada budi bicara hakim atau mahkamah,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, A Srimurugan memberitahu FMT, hanya individu yang boleh membuktikan mereka diperlakukan secara diskriminasi boleh menyaman kerajaan, dan mereka perlu membuktikan hak terhadap perlindungan sama rata di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan terjejas.

“Bukan semua orang boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan.”

Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan semua orang sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama rata undang-undang, tetapi ia juga mempunyai pengecualian dan peruntukan.

Srimurugan kesal dengan ahli politik tertentu yang tidak memandang serius undang-undang kerana ia akan menjadi contoh buruk kepada orang lain.

“Jika orang yang meluluskan undang-undang (penggubal undang-undang) tidak mematuhi undang-undang, bagaimana anda mengharapkan orang biasa mematuhi undang-undang itu?

“Ini ialah penghinaan undang-undang.”

Beliau menggesa pihak berkuasa berkaitan menguatkuasakan undang-undang terhadap semua orang, tanpa mengira kedudukan mereka.

“Polis atau agensi kerajaan perlu menghukum pesalah tanpa mengira undang-undang itu dilanggar rakyat biasa atau ahli Parlimen. Jika tidak, orang ramai akan hilang keyakinan terhadap sistem perundangan.”

Katanya, pemimpin politik yang melanggar undang-undang tidak boleh dilepaskan dengan hanya memohon maaf dan didenda.

“Mereka (pemimpin politik) yang didenda kerana melanggar undang-undang perlu meletak jawatan. Di negara lain, pemimpin yang melanggar undang-undang meletak jawatan.”