Kes keganasan rumah tangga berkurangan sejak 2017, kata timbalan menteri

Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, mangsa penderaan boleh mendapatkan perlindungan melalui Perintah Perlindungan Kecemasan yang dikeluarkan JKM atau Perintah Perlindungan Sementara oleh mahkamah.

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, statistik polis menunjukkan kes keganasan rumah tangga mengalami penurunan sejak 2017 hingga April lalu.

Katanya, sebanyak 4,026 kes direkodkan pada 2017 dan 3,947 kes pada 2018.

“Jumlah itu menurun kepada 3,435 orang pada 2019 dan 930 orang sehingga 30 April 2020,” katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab pertanyaan Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) yang ingin tahu statistik penderaan terhadap isteri dan bagaimana kerajaan menanganinya.

Beliau berkata, mangsa keganasan rumah tangga, tidak kira isteri, suami, kanak-kanak, orang kelainan upaya atau warga emas turut dilindungi di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1984.

Katanya, mangsa penderaan boleh mendapatkan perlindungan melalui Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Perintah Perlindungan Interim dan Perintah Perlindungan (PO) yang dikeluarkan mahkamah.

Siti Zailah berkata, JKM menyediakan tempat selamat kepada mangsa dan turut bekerjasama dengan NGO untuk menempatkan mangsa di rumah perlindungan lain.

Katanya, perkhidmatan kaunseling secara bersemuka atau dalam menerusi Talian Kasih 15999 turut disediakan kepada orang ramai.

Beliau berkata, kerajaan turut memfokuskan tindakan berbentuk advokasi dan pesanan khidmat masyarakat bagi mencegah keganasan rumah tangga melalui kerjasama dengan NGO.

“Komitmen dan keseriusan kerajaan dalam menangani isu ini boleh dilihat melalui penubuhan Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga dengan keanggotaan dari badan kerajaan dan NGO.”