KPM nafi UPSR, PT3 dalam talian

Kementerian Pendidikan (KPM) pada 15 April lalu mengumumkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi 2020 dibatalkan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan ada mengendalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Khas (UPSRx) dan Pentaksiran Tingkatan 3 Khas (PT3x) secara dalam talian pada September dan Oktober ini.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu menegaskan peperiksaan berkenaan bukan bawah kendalian Lembaga Peperiksaan dan tiada kaitan dengan KPM.

“Kementerian memandang serius perkara ini kerana melanggar Akta Pendidikan 1996 (Akta 550),” katanya.

Sehubungan itu, KPM sudah mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terbabit.

“KPM menasihatkan orang ramai, terutama ibu bapa murid tahun 6 dan tingkatan 3 merujuk portal rasmi KPM di http://www.moe.gov.my/ dan portal Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat tepat dan sahih mengenai peperiksaan yang dilaksanakan oleh KPM,” katanya.

KPM pada 15 April lalu mengumumkan peperiksaan UPSR dan PT3 bagi 2020 dibatalkan.