Masukkan Sabah dalam peta Filipina sangat provokatif, kata Yong

Presiden SAPP Yong Teck Lee berkata meletakkan Sabah dalam peta pasport Filipina juga akan membahayakan warganegara mereka sendiri di negara ini.

KOTA KINABALU: Presiden SAPP Yong Teck Lee berkata, tindakan ahli politik Filipina yang memasukkan Sabah dalam peta mereka sangat provokatif dan hanya menyukarkan warganegara itu datang ke Malaysia.

Katanya, di sebalik itu juga warga Filipina yang tidak mempunyai dokumen sah di Sabah akan mempunyai lebih banyak alasan untuk tidak membawa pasport dari negara mereka.

“Pihak berkuasa imigresen Malaysia tidak boleh menerima pasport orang Filipina yang datang ke negara ini kerana apabila berbuat demikian, ini bermakna mengakui tuntutan mereka ke atas Sabah.

“Bagi warga Filipina yang tidak sah di Sabah, mereka akan mempunyai lebih banyak alasan untuk tidak membawa pasport Filipina dan mereka lebih suka memiliki surat tinggal sementara di Malaysia.

“Ini akan memprovokasi rakyat Malaysia dan mendatangkan kemarahan rakyat Sabah, akibatnya, keadaan menjadi lebih sukar bagi warga Filipina kerana akan dipandang lebih mencurigakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yong berkata, meletakkan Sabah dalam peta pasport Filipina juga akan membahayakan warganegara mereka sendiri di negara ini.

“Oleh itu, demi kepentingan rakyat Filipina di Sabah, mereka perlu menuntut supaya pemerintah mereka menghentikan semua provokasi terhadap Sabah di Malaysia.

“Adalah demi kepentingan Filipina juga untuk melupakan tuntutan mereka sekali dan selamanya kerana mereka sama sekali tidak mempunyai peluang untuk berjaya,” katanya.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina membuat keputusan membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320km Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah dalam pasport negara itu.

Perkara itu mendapat kecaman daripada beberapa pemimpin negara ini termasuk Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal, yang meminta Wisma Putra memberi amaran keras kepada kedutaan Filipina di negara ini.