Pegawai atasan KKM tak diberitahu menteri ingkar kuarantin, kata Hisham

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pegawai atasan KKM hanya mengetahui perkara itu minggu lalu menerusi laporan media dan beliau hanya menerima laporan penuh mengenainya daripada pihak yang melakukan siasatan dalaman KKM kelmarin.

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan pegawai atasan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak dimaklumkan mengenai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali yang mengingkari perintah kuarantin.

Katanya, mereka hanya mengetahui perkara itu minggu lalu menerusi laporan media dan hanya kelmarin beliau menerima laporan penuh berhubung perkara itu daripada pihak yang melakukan siasatan dalaman KKM.

“Hanya kelmarin saya dapat laporan penuh daripada pihak penyiasatan dalaman, laporan penuh apa yang berlaku dan kami tidak dimaklumkan. Jadi, amat penting bagi petugas barisan hadapan kami, apa pun yang berlaku di luar sana, untuk memaklumkan kepada kami atau pegawai atasan supaya tindakan boleh diambil secepat mungkin.

“Jadi, apa yang kami lakukan adalah kami mula melakukan penyiasatan kerana KP (ketua pengarah), timbalan KP dan juga ketua jabatan penyakit berjangkit tidak dimaklumkan. Sebab itu kenapa kami mengarahkan penyiasatan dalaman dilakukan,” katanya pada sidang media semalam.

Beliau berkata, kes itu kini di bawah siasatan polis.

“Penyiasatan dalaman dijalankan dan saya telah melihat laporan itu dan laporan itu telah diserahkan kepada polis. Jadi, kami serahkan kepada polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan perlu.”

Khairuddin dikatakan mengingkari perintah kuarantin dengan menghadiri sidang Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu.

Beliau dilaporkan pulang dari Turki pada 7 Julai lalu dan menjalani ujian pengambilan sampel “nasopharyngeal” pada hari sama dan didapati negatif Covid-19. Ujian ke-2 dan ke-3 juga menunjukkan keputusan negatif.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa menteri itu tidak menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari lawatan di Turki.

Berikutan itu, Khairuddin, yang juga ahli jawatankuasa PAS, dikritik pelbagai pihak kerana menteri sendiri tidak mematuhi SOP ditetapkan, dengan mengingkari perintah kuarantin untuk rakyat yang pulang ke tanah air dari luar negara.

Susulan itu, Khairuddin dikompaun RM1,000 bagi kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta342].

Beliau memohon maaf dan menyumbangkan 4 bulan gajinya sebagai menteri, dari Mei hingga Ogos, kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) di bawah KKM.