Penipuan besar menteri kewangan PN, kata Guan Eng

Lim Guan Eng berkata akan membongkarkan kebenaran di sebalik pendedahan menteri kewangan berhubung butiran 101 projek yang diberikan melalui runding terus oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

PETALING JAYA: Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng menuduh Tengku Zafrul Aziz melakukan “penipuan besar” berikutan pendedahan butiran 101 projek yang diberikan melalui runding terus oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam catatan di Twitternya malam ini, Lim berkata pendedahan maklumat itu adalah “taktik jahat” oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Satu penipuan besar oleh menteri kewangan PN. Taktik jahat PN akan dibongkarkan dalam sidang akhbar di Parlimen esok pada 11 pagi,” katanya yang memaklumkan akan mengadakan sidang media esok mengenai perkara itu.

“Nantikan.”

Terdahulu, kementerian kewangan mengeluarkan kenyataan mengenai butiran projek bernilai RM6.61 bilion itu.

Ia disertakan dengan senarai kementerian yang memperoleh projek secara runding terus itu yang sudah diluluskan bersama jumlah kosnya, serta perincian setiap projek.